Bantu SME hadapi cabaran - Utusan Malaysia

Bantu SME hadapi cabaran

Wong Kah Meng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inisiatif yang disediakan kerajaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2021 membantu PKS menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies, Wong Kah Meng berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan untuk terus melindungi kesejahteraan rakyat dan dalam masa sama merangsang ekonomi negara melalui pelbagai inisiatif.

“Kami menyokong ketiga-tiga teras utama Belanjawan 2021 iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

“Pendekatan bersasar untuk ketiga-tiga teras tersebut memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti dan perniagaan yang terkesan, malah juga kepada segmen rentan yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kah Meng, sebagai platform pembiayaan rakan ke rakan (P2P) terbesar di Malaysia, Funding Societies memuji pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan industri pembiayaan P2P yang telah menyumbang kira-kira RM1 bilion peluang pembiayaan kepada PKS.

Pengiktirafan itu dibuktikan melalui peruntukan tambahan RM50 juta dan geran padanan pelaburan untuk pembiayaan invois.

“Dengan tempohnya yang secara relatif pendek, banyak lagi PKS akan memperoleh manfaat daripada peruntukan tersebut. Peruntukan itu tepat pada masanya melihat kepada cabaran yang dihadapi perniagaan tempatan, ia dapat membantu mereka memperoleh aliran tunai jangka pendek daripada tempoh kredit invois.

“Dalam masa sama, secara umumnya ia adalah produk pembiayaan berisiko rendah, sekali gus menjamin kelangsungan pembiayaan mandiri untuk PKS untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

Mengulas lanjut, Kah Meng turut mengalu-alukan inisiatif-inisiatif yang berfokuskan PKS seperti Penjana Kerjaya, Program Pekerjaan Jangka Pendek (Mystep), Pembiayaan Skim Lestari dan inisiatif lain yang bertujuan memperkasa PKS melalui akses terhadap lebih banyak peluang pekerjaan serta peluang menambah kemahiran (upskilling) dan menukar kemahiran (reskilling).

Menurut beliau, ia perlu kerana pandemik Covid-19 memaksa perniagaan untuk beradaptasi dengan strategi baharu dan penggunaan digital dan era kebiasaan baharu.

“Kami yakin, walaupun perjuangan melawan cabaran yang tiada teladan ini masih jauh, kami berharap secara bersama kita dapat menelusuri keadaan yang mencabar ini dengan lancar dan tampil lebih kuat pada akhirnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya