Notis pemiutang proses pembubaran Malaysia Airlines System - MAB - Utusan Malaysia

Notis pemiutang proses pembubaran Malaysia Airlines System – MAB

Salinan notis kepada pemiutang yang dikaitkan dengan syarikat penerbangan MAS tular di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Notis kepada pemiutang bagi mengemukakan hutang atau tuntutan yang diterbitkan di sebuah akhbar tempatan adalah untuk Malaysia Airlines System Bhd. (MAS).

Notis yang tular dalam media sosial itu dipercayai merupakan sebagai sebahagian proses berterusan bagi syarikat yang telah dibubarkan itu.

Menurut Malaysia Airlines Bhd. (MAB) dalam kenyataan, notis tersebut tiada kaitan dengan MAB dan bukan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan penstrukturan semula syarikat itu yang sedang dirancang ketika ini.

“MAB ingin menjelaskan bahawa pemberitahuan kepada pemiutang untuk mengemukakan bukti hutang atau tuntutan yang telah tular di media sosial itu adalah satu proses pembubaran MAS.

“Proses itu dikendalikan KPMG yang telah dilantik sebagai pelikuidasi syarikat sejak Februari tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Satu pemberitahuan kepada pemiutang yang diterbitkan di sebuah akhbar tempatan telah tular dalam media sosial semalam oleh KPMG Deal Advisory Sdn. Bhd.

“Dengan ini pemberitahuan diberikan bahawa pemiutang syarikat, yang hutang atau tuntutannya belum diterima harus diserahkan selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 12 November 2020.

“Ini adalah untuk membuktikan hutang atau tuntutan mereka dan menetapkan sama ada mereka mahu menyampaikan secara terus atau menghantar menerusi pos ke pelikuidasi,” menurut notis tersebut.

Notis yang lebih kurang sama telah diterbitkan pada awal Februari lalu selepas pelantikan KPMG sebagai pelikuidasi sementara untuk MAS.

MAS diambil alih oleh MAB pada 1 September 2015 sebagai sebahagian dariapda rancangan pemulihan syarikat penerbangan nasional dengan MAB dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd.

Pada 2 Oktober lalu, Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu syarikat induk penerbangan nasional, MAB dalam surat kepada pemberi pinjaman memaklumkan Kumpulan itu mungkin tidak dapat membuat pembayaran hutang selepas November kecuali jika menerima suntikan lebih banyak dana daripada Khazanah.

Dengan berbilion hutang yang terpaksa ditanggung, Malaysia Airlines juga terpaksa menelan pahit apabila Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menyuntik sebarang dana lagi keapda syarikat itu.

Lebih menyedihkan, Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail juga tidak menolak kemungkinan Malaysia Airlines terpaksa menamatkan operasi sekiranya pemberi pinjaman tidak menyokong pelan penstrukturan semula terbaharu syarikat itu.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan tidak menolak kemungkinan untuk menamatkan pembiayaan kepada Malaysia Airlines dan menyalurkan untuk Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya