“PADA tangis pertama kelahiranmu di bumi ini; Sampai saat terakhir nafas dalam melangkah kaki; Teguh-teguhlah menyanyikan lagu tanah air tercinta; Bersama kita atas kesegaran kepedihan bumi merdeka.” – Datuk Usman Awang, Sajak Pemuda Dan Gadis Tiong Hua.
Dalam pada badai politik kuat membaham kestabilan ekonomi dan sosial negara, anak muda diperkasa dengan kuasa mengundi melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Yang menarik, Rang Undang-Undang (RUU) ini diluluskan dengan undi penuh kesemua 211 ahli Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat semasa bacaan kali kedua dibuat.
Maka bermula 15 Disember 2021, anak muda yang baharu mula belajar erti tanggungjawab hidup disorak menjadi pengundi dengan harapan suara anak muda dapat bergema lantang di dewan Parlimen.
Genap mencecah umur dewasa, anak muda bukan sahaja boleh mengundi. Mereka juga sudah memegang liabiliti jenayah sebagai seorang dewasa, dibenarkan memegang lesen memandu, dan sudah boleh bernikah kahwin. Maka Undi18 seolah-olah keputusan jelas yang sepatutnya sudah dilakukan sejak dulu lagi.
Dengan kurniaan hak ini, sudah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk mempersediakan belia agar anak muda dapat terlibat secara aktif dan efektif dalam proses penggubalan undang-undang serta penggarapan dasar negara.
Bimbingan bagi mempersiapkan mereka bukan setakat terbatas kepada ilmu tatanegara tetapi juga dalam memastikan akal anak muda digilap hingga bernas memilih pemimpin dan membentuk masa hadapan negara.
Kerana itu juga, masyarakat punya amanah besar untuk mengutuhkan jati diri anak bangsa agar mereka tidak lalai dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Laporan kemasukan pelbagai dadah sintetik, termasuklah yang berasaskan furanyl fentanyl, ke dalam negara bukan sahaja membimbangkan tetapi amat menakutkan kerana mampu mengundang sejuta jenis isu sosial.
Baru-baru ini tular di media sosial pelbagai kelakuan aneh anak muda di tempat awam yang kelihatan lalok, terpinga-pinga dan keliru. Malah ada antara mereka kelihatan seperti sudah hilang langsung kewarasan sehingga ada yang tidak mampu memberikan respons mudah untuk soalan ringkas yang diajukan kepada mereka.
Awal Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam orang suspek susulan penyebaran beberapa video yang menunjukkan pelaku dalam keadaan terpinga-pinga selepas menghisap vape secara berlebihan.
Dalam penahanan pertama, polis menahan tiga orang lelaki termasuk pembekal vape dan merampas sebotol cecair vape dipercayai mengandungi ketamin, selepas tular video yang menunjukkan dua lelaki dalam keadaan khayal di sebuah tempat letak kereta di Selangor.
Dalam penahanan kedua di Johor, polis menahan tiga individu yang membuat siaran langsung di media sosial dalam keadaan khayal sambil menghisap vape.
Minggu lalu seorang remaja mengelar leher dan tangannya sendiri saat hilang kawalan minda. Tindakan ini dikatakan berpunca daripada pengambilan bahan halusinogenik melalui peranti vape.
Siasatan akhirnya mendapati remaja berkenaan mendapat bekalan daripada kekasih yang berusia 17 tahun.
Isu penularan video atau kes orang awam dan remaja yang menjadi khayal, tidak sedar diri, atau berkelakuan aneh seperti ‘zombie’ selepas menghisap vape yang mengandungi ‘magic mushroom’ semakin hangat diperkatakan dan menjadi kebimbangan besar di Malaysia.
Berdasarkan laporan pihak berkuasa dan agensi kesihatan, cecair vape yang semakin banyak dijual di pasaran tempatan diaduk bukan daripada bahan semula jadi sebaliknya dirumus menggunakan dadah sintetik. Bahan ini jauh lebih bahaya dengan kesan khayal yang lebih tinggi dan menyebabkan ketagihan lebih kuat.
Meskipun Malaysia sudah bertindak dengan tegas mengharamkan penjualan dan pengambilan dadah, namun taktik pemasaran vape haram sebegini dilihat licik dan dengan sengaja menyasarkan belia muda. Bahkan ada bungkusan atau botol cecair vape yang diolah menyerupai botol cecair pemanis bagi mengaburi mata orang ramai sehinggakan ramai remaja serta pelajar sekolah juga dikatakan membeli dan mencuba barang terlarang ini.

PENGUATKUASAAN
Pun begitu, awal minggu ini, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesahkan agensi berkenaan akan mula menggunakan alat uji bagi mengesan fentanyl. Diharapkan dengan alat uji ini, kelompongan dalam pemantauan dan penguatkuasaan dapat diperketatkan dan perang besar terhadap penjualan dadah sintetik dapat dilaksanakan dengan lebih tegas.
Mungkin sudah tiba masa juga untuk kerajaan menyemak semula peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] agar lebih berbisa sehingga orang ramai tidak berani untuk mencuba bahana peranti vape yang mengandungi dadah.
Masa hadapan negara tidak selamat apabila anak muda dilalaikan dengan ketagihan bahan terlarang. Lebih buruk lagi, tindakan tidak waras mereka yang terlibat ketika dalam keadaan khayal mampu membahayakan orang lain di sekeliling mereka. Lihat saja kes-kes melibatkan pemandu mabuk atau khayal sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
Yang bakal dimangsakan adalah ahli masyarakat yang tidak berdosa dalam pada mereka yang bertanggungjawab terlepas bebas.
Tanpa tindakan yang tegas, golongan belia berisiko menjadi mangsa pelbagai pengaruh dan hasutan yang bukan sahaja menyesatkan pemikiran mereka, malah akhirnya merugikan kedudukan serta kuasa politik generasi muda itu sendiri.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.










