Kadar IHP September turun 1.4 peratus - Utusan Malaysia

Kadar IHP September turun 1.4 peratus

DR. Mohd. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi bagi September susut 1.4 peratus kepada 120.1 daripada 121.8 pada bulan sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memberitahu, penurunan IHP keseluruhan itu telah dipengaruhi penyusutan indeks pengangkutan sebanyak -9.9 peratus; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menguncup 3.0 peratus dan pakaian serta kasut (-0.6 peratus) yang menyumbang 41.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Walau bagaimanapun, Mohd. Uzir berkata, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.1 daripada 133.2 dalam bulan sama tahun lalu.

Menurut Mohd. Uzir, kumpulan tersebut menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP manakala kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.7 peratus, diikuti komunikasi (1.6 peratus) dan kesihatan (1.1 peratus).

“IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus dalam September 2020 berbanding September 2019.

“IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, RON97 dan diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Uzir, purata harga RON95 menunjukkan penurunan pada September 2020 iaitu RM1.68 seliter berbanding RM2.08 pada September 2019.

Katanya, purata harga RON97 turut menurun kepada RM1.98 per liter daripada RM2.58 manakala purata harga diesel susut kepada RM1.73 seliter daripada RM2.18 pada bulan sama tahun lalu.

Indeks teras pula meningkat satu peratus September lalu berbanding bulan sama 2019 dengan antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan itu adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.7 peratus), komunikasi (1.6 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.4 peratus) dan kesihatan (1.1 peratus).

IHP bulanan tidak menunjukkan perubahan berbanding Ogos 2020 dengan kumpulan utama menunjukkan peningkatan iaitu restoran dan hotel sebanyak 0.2 peratus, minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1 peratus) serta pendidikan (0.1 peratus).

Sementara itu, IHP bagi suku tahun ketiga 2020 turut menurun 1.4 peratus kepada 120.2 daripada 120 pada tempoh sama 2019. Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 1.5 peratus daripada suku tahun kedua 2020.

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.8 peratus hingga -2.2 peratus bagi September berbanding bulan sama tahun lalu.

Penurunan tertinggi dicatatkan Melaka yang menguncup 2.2 peratus; Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2 peratus) dan Kedah serta Perlis (-2.2 peratus). Ini diikuti Sarawak (-2.1 peratus), Negeri Sembilan (-1.9 peratus) dan Johor (-1.9 peratus).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.4 peratus), diikuti Terengganu (1.6 peratus), Johor (1.5 peratus) dan Perak (1.5 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya