Gabung: Kelebihan UEM Sunrise - Utusan Malaysia

Gabung: Kelebihan UEM Sunrise

Lakaran artis projek Solaris Parq, Mont Kiara dibangunkan UEM Sunrise. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Boleh memanfaatkan kepakaran Eco World

KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan antara dua syarikat pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd. dengan Eco World Development Group Bhd. disifatkan akan memberi kelebihan kepada UEM Sunrise.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng berpendapatan, UEM Sunrise boleh memanfaatkan kepakaran Eco World dalam pemasaran dan penjenamaan kukuh yang dimiliki syarikat itu.

Menurutnya, kelebihan yang dimiliki Eco World dijangka dapat membantu UEM Sunrise mencipta nilai daripada pemilikan tanah besar yang dimiliki di Iskandar Malaysia.

“UEM Sunrise mempunyai tanah seluas 3,707.73 hektar di Iskandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM80.9 bilion.

“Satu daripada faedah cadangan penggabungan ini ju­ga adalah akan mewujudkan kedudukan kewangan kukuh bagi pengembangan projek di dalam dan luar negara,” kata­nya dalam nota kajian tersebut.

Anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd. (Kha­zanah), UEM Group iaitu syarikat induk UEM Sunrise dalam kenyataan kelmarin mengumumkan sedang meneroka peluang proses penggabungan antara UEM Sunrise dengan Eco World sekali gus mewujudkan satu daripada syarikat pemaju hartanah terbesar negara.

Namun begitu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid menyifatkan, cadangan penggabungan itu bukan langkah terbaik kerana Eco World yang menanggung bebanan hutang tinggi dilihat hanya akan menjadi liabiliti kepada Khazanah.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpendapat, kesan pandemik Covid-19 kepada ekonomi termasuk sektor hartanah membuatkan penggabungan itu mungkin dapat direalisasikan untuk mencari kelestarian dan membantu pencapaian kedua-dua syarikat.

“Tidak dinafikan penggabungan kedua-dua syarikat ini menjadikannya sebagai pemaju paling besar di Malaysia dari segi nilai pasaran dan juga pemilikan tanah.

“Namun begitu, masih terdapat syarikat-sya­rikat harta­nah bersaiz besar seper­ti Sime Darby Property Bhd., IOI Properties Group Bhd. dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd. dalam nota kajian turut menyatakan, cadangan penggabungan tersebut akan memberi ke­lebihan kepada UEM Sunrise memandang­kan pemegang saham utama Eco World akan kehilangan hak majoriti, status penyenaraian dan mungkin jenama mereka.

Penganalisis Kenanga Investment Bank, Lum Joe Shen berkata, UEM Sunrise akan memperoleh keuntungan me­nerusi kekuatan Eco World dalam perancangan pema­saran dan perbandaran yang da­pat membantu meningkatkan penjualan serta mengurangkan turun naik pendapatan hasil sumbangan projek luar negara UEM Sunrise.

Bagi pihak Eco World pula, Lum berpendapat, alasan kukuh terhadap penggabungan itu adalah kerana pemegang saham utama­nya bimbang dengan prospek sektor hartanah dan ekonomi masa hadapan.

“Oleh itu, Eco World boleh mendapat keuntungan daripada sokongan peme­gang saham yang lebih kukuh iaitu Khaza­nah melalui UEM Group,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.