DHAKA: Wabak campak paling dahsyat di Bangladesh dalam beberapa dekad menekan sistem kesihatannya, dengan kanak-kanak memenuhi wad hospital dan doktor bergelut untuk membendung lonjakan jangkitan yang meragut lebih 300 nyawa kanak-kanak.
Negara Asia Selatan itu sebelum ini mencapai kemajuan dalam program vaksinasi bagi membendung virus berbahaya tersebut, namun jurang liputan vaksin semasa dan selepas kekacauan pemberontakan 2024 yang menggulingkan kerajaan autokratik menyebabkan generasi termuda sangat terdedah.
“Saya hampir pasti saya akan kehilangan dia hari ini, keadaannya sangat teruk pada waktu pagi,” kata Rina Begum, 45, sambil mendukung cucu perempuannya yang berusia tiga tahun, Afia.
Rina berkata, Afia terlepas dos kedua vaksin campak pada usia 18 bulan, dan menghabiskan dua minggu terakhir di wad campak di Dhaka.
Campak sangat mudah berjangkit, merebak melalui batuk dan bersin, dan tidak mempunyai rawatan khusus selepas seseorang dijangkiti.
Ia memberi kesan paling teruk kepada kanak-kanak. Pernafasan mereka boleh menjadi sukar, kekuatan tubuh semakin lemah, dan dalam kes paling teruk, jangkitan boleh merebak ke otak, menyebabkan pembengkakan yang boleh membawa kepada kerosakan kekal atau kematian.
Bangladesh merekodkan 336 kematian kanak-kanak sejak 15 Mac, dengan lebih 50,000 kes disahkan dan disyaki, menurut data kerajaan terkini.
Kebanyakan kes yang direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lima tahun.
Pada 4 Mei, negara itu mencatatkan angka paling tragik apabila 17 kanak-kanak meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, jumlah kematian harian tertinggi setakat ini.
Pegawai kesihatan, dengan bantuan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNICEF, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pasukan keselamatan, kini sedang berusaha memvaksin kanak-kanak melalui kempen kecemasan campak-rubella yang dilancarkan pada 5 April.
Hampir 17 juta kanak-kanak menerima vaksin sejak kempen itu dimulakan, menurut data kerajaan.
Pada 2025, kadar liputan vaksin hanya 59 peratus, namun 95 peratus liputan kanak-kanak diperlukan untuk memastikan imuniti kelompok.
Tanpa imuniti kelompok, kanak-kanak masih boleh dijangkiti walaupun selepas vaksinasi, kata pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Abu Hussain Md Moinul Ahsan.
Beliau berkata, keputusan kempen ini hanya boleh dilihat dalam tempoh kira-kira sebulan.- AGENSI










