MELAKA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan Meta membanteras serta membendung penyebaran akaun palsu yang menggunakan identiti Raja-Raja Melayu secara berkesan di platform media sosial mereka.
Menurutnya, pihak kementerian telah beberapa kali membangkitkan perkara tersebut kepada syarikat pengendali Facebook berkenaan, namun tindakan diambil masih tidak memuaskan.
Beliau menegaskan, kerajaan kini sedang meneliti tindakan perundangan yang boleh diambil terhadap platform media sosial yang gagal menangani isu berkenaan termasuk melalui Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA).
“Saya telah memberi teguran beberapa kali kepada pihak Meta tetapi mereka seolah-olah tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan saya sangat kecewa.
“Mereka kena faham Institusi Diraja di negara ini sangat penting, termaktub dalam Perlembagaan dan wajib dihormati termasuk oleh platform antarabangsa seperti Facebook,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai sejumlah 15,296 akaun palsu menggunakan nama 26 kerabat diraja dikenal pasti sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini berdasarkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta aduan awam.
Fahmi turut memaklumkan akaun palsu itu turut melibatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, akta tersebut dijangka dapat dikuatkuasakan sepenuhnya dalam masa terdekat selepas beberapa kod berkaitan selesai diwartakan.
“Kita akan teliti beberapa langkah termasuk tindakan undang-undang terhadap platform yang terus gagal mengekang kewujudan akaun palsu terutama melibatkan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Tambah beliau, antara tindakan yang boleh dikenakan di bawah ONSA termasuk denda sehingga RM1 juta serta denda harian RM100,000, selain penalti lebih tinggi yang boleh mencecah RM10 juta bergantung kepada kesalahan dilakukan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya juga turut terkejut dengan jumlah kandungan berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan yang dikesan di platform media sosial sebanyak 90 peratus.
Jelasnya, lebih 230,000 kandungan kandungan melibatkan judi dalam talian serta scam telah diturunkan oleh MCMC sejak 1 Januari hingga 6 Mei lalu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, platform media sosial perlu memberikan kerjasama lebih erat kepada kerajaan bagi memastikan keselamatan pengguna khususnya rakyat Malaysia terus terpelihara. – UTUSAN










