KANGAR: Scammer harumanis dikesan semakin ligat mempromosi buah tersebut dengan harga rendah di platform media sosial yang sekali gus mencetuskan kebimbangan pengguna tertipu.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis negeri, Datuk Hashim Suboh mendedahkan, tindakan tersebut dikesan sejak tahun lalu dan ia semakin menjadi-jadi menjelang musim harumanis yang dijangka pertengahan Mac ini.
Katanya, syarikat atau sindiket tersebut didapati menawarkan harumanis pada harga serendah RM20 sekilogram atau RM35 bagi dua kilogram di platform media sosial seperti Facebook.

Beliau bimbang jika pengguna mudah terpengaruh dengan harga rendah tersebut dan akhirnya tertipu kerana kelaziman yang diterima bukan mempelam harumanis.
“Sekarang ini semakin meluas di media sosial syarikat atau sindiket tertentu mempromosikan harumanis dengan harga rendah yang tidak masuk akal. Malah ada harga harumanis yang ditawarkan, tiga kilogram RM50 termasuk percuma sekilogram buah berkenaan.
“Sindiket berkenaan semakin terbuka menjual di media sosial khususnya Facebook. Kebanyakan harga ditawarkan sama, namun di pautan media sosial yang berbeza,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya, tindakan scammer berkenaan akan mencemarkan imej harumanis Perlis sekiranya pengguna menerima bukan mempelam harumanis atau buah yang tidak berkualiti.
Beliau berkata, melalui pemerhatian, ramai yang terpengaruh membeli buah yang dikatakan harumanis itu dengan harga murah.
“Malah ada yang menerima buah masam, rosak dan berulat. Perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius bagi menjaga imej harumanis yang merupakan buah ikonik negeri ini,” katanya.
Harga harumanis adalah sekitar RM35 hingga RM60 sekilogram iaitu bergantung kepada kualiti dan permintaan pasaran.
Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis pernah menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan sesetengah pihak yang semakin aktif menggunakan nama harumanis bagi melariskan produk, sekali gus menjejaskan hak eksklusif buah yang sinonim dengan negeri ini.
Apa yang membimbangkan buah atau produk menggunakan nama harumanis, namun tidak dapat dipastikan kesahihan buah tersebut yang hanya bermusim setahun sekali di Perlis.
Mangga harumanis Perlis telah didaftarkan sebagai harta intelek di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000 sejak 2 Ogos 2011 oleh Jabatan Pertanian Perlis dan telah diperbaharui bagi tempoh 10 tahun sehingga 2 Ogos 2031.
Maka dengan itu, harumanis Perlis mempunyai hak eksklusif untuk mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara serta diberi perlindungan oleh undang-undang harta intelek. – UTUSAN










