AirAsia Jepun sah henti operasi serta-merta - Utusan Malaysia

AirAsia Jepun sah henti operasi serta-merta

Keputusan itu dilakukan kerana AirAsia India mengalami masalah aliran tunai sehingga menyebabkan tekanan kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AirAsia Japan Co. Ltd sah menghentikan operasi berkuat kuasa serta-merta semalam ekoran permintaan yang terus menurun akibat pandemik Covid-19.

Sejak diwujudkan pada Julai 2014, AirAsia Jepun telah beroperasi bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dari pangkalannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair.

Menurut AirAsia Jepun dalam kenyataan, pandemik Covid-19 telah meninggalkan kesan mendalam dan berpanjangan bukan sahaja kepada ekonomi seluruh dunia tetapi juga kepada syarikat berkenaan.

Jelasnya, sekatan perjalanan dan ketidakpastian yang timbul telah mengurangkan permintaan bagi perjalanan perniagaan mahu pun pelancongan sekali gus mengakibatkan penurunan jumlah penerbangan, pembatalan dan penggunaan pesawat serta mempengaruhi kemampuan AirAsia Jepun untuk terus beroperasi.

Wakil Pengarah dan Ketua Pegawai Operasi AirAsia Jepun, Jun Aida berkata, walaupun telah berusaha untuk mengekalkan operasi melalui inisiatif pengurangan kos, namun syarikat membuat keputusan bahawa sangat mencabar bagi syarikat meneruskan operasi tanpa kepastian pemulihan pasca Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada penumpang setia serta pihak berkepentingan lain yang telah menyokong selama ini. Keputusan untuk menghentikan operasi sangat memedihkan namun tidak diputuskan secara tergesa-gesa atau dipandang ringan.

“Perkara ini telah dipersetujui setelah melakukan tinjauan perniagaan secara menyeluruh.

“Langkah lebih lanjut mengenai keputusan ini akan dilakukan sejajar dengan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Aeronautik Awam Jepun.

“Kami telah membatalkan semua penerbangan. Semua penumpang terjejas akan dihubungi melalui e-mel dengan maklumat lebih lanjut dalam tempoh tujuh hari lagi,” katanya dalam kenyataan itu.

Pemberhentian operasi itu hanya akan mempengaruhi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan AirAsia Jepun di negara tersebut dengan kod penerbangan DJ dan tidak memberi kesan terhadap penerbangan lain ke dalam dan luar Jepun yang dikendalikan syarikat penerbangan lain dalam Kumpulan AirAsia.

Perkhidmatan antarabangsa ke Jepun dari Malaysia, Thailand dan Filipina akan disambung semula pada masa depan selepas sekatan perjalanan ditarik balik dan pintu sempadan Jepun dibuka semula.

Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memaklumkan langkah menutup operasi AirAsia Jepun hanyalah satu daripada pilihan dengan keputusan tersebut masih belum diputuskan secara muktamad.

Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai operasi itu akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Sehari sebelum itu, AirAsia Jepun dilaporkan telah memaklumkan kepada pihak berkuasa yang ia merancang untuk menamatkan operasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya