SST: Petronas bakal hilang RM4b - Utusan Malaysia

SST: Petronas bakal hilang RM4b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komitmen bayaran cukai jualan dan perkhidmatan (SST) produk petroleum kepada Sarawak telah menyebabkan Petronas kehilangan RM2.96 bilion tahun ini.

Jumlah itu mungkin akan bertambah apabila negeri jiran Sarawak, Sabah turut mengambil langkah sama menuntut royalti berdasarkan peruntukan undang-undang dalam negeri itu, memandang­kan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 13 Mac 2020 yang berpihak kepada Sarawak telah menetapkan teladan (precedent) dalam perkara tersebut.

Jika itu berlaku, hasil Petronas mungkin berkurangan sehingga hampir RM4 bilion setahun untuk memenuhi komitmen bayaran SST kepada kedua-dua negeri tersebut ke­rana Sabah dianggarkan boleh mengutip kira-kira RM600 juta daripada cukai itu.

Jumlah itu tidak termasuk bayaran royalti lima peratus yang perlu dibayar Petronas kepada setiap kerajaan nege­ri di mana ia mengeluarkan minyak dan kepada kerajaan Persekutuan yang keseluruhannya berjumlah berbilion ringgit.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpendapat, perkara itu akan menjejaskan pelaburan Petronas pada masa akan datang.

“Sudah berkurang wang yang boleh digunakan untuk mencari punca (pendapatan) baharu atau dilaburkan dalam teknologi sebab sekarang sebahagian keuntungan Petronas sudah terpaksa diberi dalam bentuk cukai.

“Apabila Petronas mengakui bahawa kerajaan Sarawak la­yak atau memang sepatutnya dapat cukai jualan itu, maka ia akan dituruti oleh Sabah. Mo­dal untuk Petronas bergerak ke hadapan akan berkurang dan terpaksa kurangkan pelaburan serta cari gali baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Malah, Baharom turut menjelaskan, bayaran cukai jualan tersebut akan memberi kesan kepada pendapatan kerajaan Persekutuan kerana royalti yang dibayar Petronas akan berkurangan.

“Hasil Petronas tahun ini sudah berkurang sebanyak 25 peratus sebelum cukai jualan dibayar, disebabkan harga pasaran dunia yang merudum.

“Apabila hasil menurun, royalti yang dibayar juga akan menurun. Sekarang royalti itu akan terjejas lagi kerana keuntungan bersih Petronas akan susut disebabkan perjanjian pembayaran cukai jualan,” katanya.

Awal bulan ini, Petronas me­ngumumkan kerugian sebanyak RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020, kerugian suku tahunan pertama yang dicatatkan syarikat itu sejak suku keempat 2015.

Namun, kata beliau, perkara itu memberi impak positif kepada Sarawak yang kini mempunyai sumber baharu untuk menjalankan projek pemba­ngunan di negeri tersebut.

Untuk rekod, jumlah cukai jualan yang dibayar Petronas kepada Sarawak bernilai hampir 30 peratus daripada jumlah belanjawan tahunan Sarawak untuk 2020.

“Untuk kerajaan Persekutuan, ia berita buruk tetapi untuk kerajaan Sarawak, ia berita yang sangat baik. Diharapkan kerajaan Sarawak mengamalkan ketelusan dalam menjalankan projek-projek pembangunan menggunakan hasil yang baharu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN