Sapura nafi terlibat tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Sapura nafi terlibat tuduhan rasuah

Dakwaan tersebut melibatkan tiga kontrak bernilai AS$2.7 bilion (RM11.24 bilion) yang ditandatangani Sapura dan Petrobras pada 2011 melibatkan pembinaan dan sewaan kapal sokongan pemasangan paip fleksibel (PLSV). - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Berhad (Sapura) menafikan sebarang penglibatannya dengan tuduhan rasuah melibatkan syarikat minyak gergasi Brazil, Petrobras.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu menegaskan mereka komited melunaskan klausa antirasuah yang dimuatkan dalam semua perjanjian perniagaannya.

“Berkenaan berita terbaharu tentang dakwaan penglibatan Sapura dan Seadrill dalam aktiviti rasuah berhubung kontrak Petrobras, Sapura dan kumpulan syarikatnya dengan tegas menafikan apa-apa keterlibatan dalam apa jua bentuk rasuah atau korupsi dalam perjanjian perniagaannya di Brazil atau di mana-mana tempat di dunia.

“Sebagai sebahagian daripada proses pentadbiran, syarikat mempunyai klausa dalam setiap perjanjiannya tentang antirasuah yang boleh menyebabkan perjanjian tersebut terbatal jika melibatkan sebarang aktiviti rasuah atau disyaki melibatkan aktiviti rasuah,” katanya.

Menurut Sapura, mereka telah mengambil langkah-langkah segera sebelum ini untuk membatalkan perjanjian setiap kali timbul syak tentang kegiatan rasuah yang berkemungkinan berlaku.

“Fakta ini adalah bukti jelas komitmen syarikat terhadap polisi sifar toleransinya kepada rasuah dan korupsi,” kata syarikat itu.

Sapura dan Seadrill menjadi firma antarabangsa terbaharu yang dilibatkan dengan siasatan rasuah di Brazil, yang dikenali sebagai “Operasi Car Wash”.

Dalam kenyataan oleh pihak pendakwa Brazil, dakwaan tersebut melibatkan tiga kontrak bernilai AS$2.7 bilion (RM11.24 bilion) yang ditandatangani Sapura dan Petrobras pada 2011 melibatkan pembinaan dan sewaan kapal sokongan pemasangan paip fleksibel (PLSV) yang masih berkuat kuasa sehingga kini.

Menurut kenyataan itu, Sapura didakwa membayar rasuah berjumlah 1.5 peratus daripada keseluruhan kontrak yang dimenanginya dengan Petrobras. Sebahagian daripada wang rasuah itu juga didakwa akhirnya sampai ke tangan dua pegawai kanan yang tidak dinamakan.

Siasatan terhadap “Operasi Car Wash” bermula sejak Mac 2014 dan telah melibatkan beratus ahli perniagaan dan politik berprofil tinggi di rantau Amerika Latin.

Pada 2017, pengarang The Guardian, Jonathan Watts memberi gambaran ia sebagai satu daripada skandal korupsi terbesar dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya