Najib diberi peluang jelaskan dakwaan terlibat skandal 1MDB

Najib diberi peluang jelaskan dakwaan terlibat skandal 1MDB

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberikan peluang untuk memberikan sebarang penjelasan berhubung dakwaan penglibatannya berkaitan penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, ketika rakaman percakapan dibuat, mana-mana suspek atau tertuduh akan diberi peluang untuk memberikan penjelasan.

Bagaimanapun, pegawai penyiasat SPRM tidak meletakkan soalan spesifik ketika mengambil kenyataan Najib.

“Tetapi apabila kita merujuk (kepada dokumen), kita me­minta Najib menjelaskan secara penuh mengenai dokumen yang dirujuk termasuk tindakan dan perkara berkaitan keseluruhan isu.

“Kita tanya soalan dan kita akan rakam dengan cara naratif, dan saksi atau tertuduh diberi peluang untuk menjelaskan secara terperinci. Saya percaya ada soalan yang ditanyakan (kepada Najib) apabila dokumen ditunjukkan kepadanya,” katanya.

Nur Aida yang juga saksi ke-49 pendakwaan berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Peguam terbabit membangkitkan persoalan bahawa Najib tidak ditanya apa-apa soalan ketika beliau ditunjukkan dua dokumen mengenai perolehan Mastika Lagenda Sdn. Bhd. oleh 1MDB.

Selain itu, pegawai itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa SPRM tidak membawa kepada perhatian Najib kepada dua dokumen terbabit dan pada sama menjelaskan apakah pertuduhan agensi itu terhadapnya.

Ketika disoal sama ada Najib dijelaskan bagaimana kedua-dua dokumen itu selari dengan pertuduhan terhadapnya, Nur Aida menjawab, “Secara spesifik, tidak ada.”

Pada 14 November 2023, Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min yang juga pegawai penyiasat 1MDB memberitahu bahawa Najib tidak memberikan kerjasama ketika disoal siasat.

Sebaliknya, jelas Wei Min yang juga saksi pendakwaan ke-48, Najib hanya menyatakan ‘Saya akan jawab di mahkamah.’

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok (Sabtu) yang merupakan kali pertama prosiding dijalankan pada hujung minggu sejak kes penyelewengan dana itu dibicarakan bermula 28 Ogos 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN