PUTRAJAYA: Kehadiran JDT Racing Team ke dalam perlumbaan Kejuaraan Perlumbaan Motosikal Asia (ARRC) telah mengubah suasana sambutan perlumbaan itu musim ini.
Promoter ARRC, Ron Hogg berkata, penyertaan JDT Racing Team memang memberi impak terutama dari segi sambutan yang diberikan oleh peminat yang mengikuti perlumbaan ARRC.
“Faktor JDT Racing Team ini memang ada sikit kenaikan kepada sambutan pada musim ini, malah, peminat juga kini terbahagi kepada dua iaitu peminat pasukan berkenaan dan bukan JDT.
“Tetapi untuk pelumba-pelumba kita, mereka mengakui persaingan hanya berlaku di dalam trek, tetapi, di luar mereka berkawan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) di sini, kelmarin.
Menurut Ron, sebagai penganjur, pihaknya gembira dengan sambutan yang diterima, tetapi, senario sedikit berubah apabila beliau kadang kala menerima soalan-soalan pelik daripada peminat.
Jelasnya, agak sukar untuk pihaknya memberi jawapan kepada peminat-peminat baharu itu yang pada anggapan beliau masih belum memahami selok-belok ARRC.
“Sebagai penganjur, kita memang gembira kalau ada sambutan cuma kadang-kadang soalan pelik yang keluar dan susah bagi sukan pemotoran hendak jawab, mungkin peminat-peminat ini baharu.
“Mereka tak faham kenapa kita batalkan perlumbaan 2 di Zhuhai (China, hujung minggu lalu) sedangkan ia merupakan arahan daripada Kerajaan China bukan kita yang hendak hentikan perlumbaan itu.
“Tetapi peminat pula persoalkan kenapa kita tak boleh berlumba, itu cabaran biasa yang kita kena hadapi, kebanyakannya daripada peminat baharu, saya rasa ada perbezaan antara peminat sukan pemotoran dan bola sepak,” ujarnya.
Selain kehadiran pasukan JDT Racing, Ron menambah, kehadiran empat pelumba terbaik negara dalam perlumbaan kelas utama 1,000cc pada ARRC telah merancakkan lagi persaingan musim ini.
Keempat-empat pelumba tersebut adalah Azlan Shah Kamaruzaman, Hafizh Syahrin Abdullah, Zaqhwan Zaidi dan Kasma Daniel Kasmayuddin.-UTUSAN







