fbpx

Petronas, syarikat India bangun SEEd.Lab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Tata Consultancy Services (TCS), syarikat teknologi maklumat India bekerjasama mengembangkan program keusahawanan sosial pertama menerusi Makmal Pendidikan Perusahaan Sosial (SEEd.Lab).

Usaha itu bertujuan menangani pengangguran belia dan memberi kesan positif kepada masyarakat melalui SEEd.Lab dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan menjalin penyelesaian lestari dan merapatkan jurang pekerjaan belia di Malaysia.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, pihaknya melihat jurang besar bagi perusahaan sosial dalam mencipta pekerjaan di pasaran baharu ketika pandemik Covid-19.

“Sejajar dengan agenda kesinambungan Petronas menerusi SEEd.Lab, kami percaya ia dapat memperkasakan kepimpinan dan pembuat keputusan untuk menangani isu-isu dan membentuk masa depan yang lebih lestari dan menjadi lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, kerjasama Petronas dan TCS menunjukkan komitmen bersama dalam membina SEEd.Lab dan akan berkembang melalui kerjasama dengan pemain lain dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.

SEEd.Lab adalah inisiatif pertama yang merangkumi perjalanan dari hujung ke hujung yang merangkumi kepentingan pertumbuhan permulaan.

Lebih daripada 1,000 calon yang berpotensi, SEEd.Lab menyenarai pendek 200 permohonan dalam kalangan graduan dan usahawan baharu di seluruh negara.

Tiga perusahaan sosial telah ditubuhkan sehingga kini iaitu Teman, Solvnex dan Foodlab yang menangani masalah komuniti tertentu menggunakan penyelesaian digital dan teknologi.

Sejak penubuhannya, perusahaan sosial diberi latihan untuk mengembangkan ketrampilan mereka melalui kelas dan bengkel induk yang diketuai oleh pelatih serta pakar yang diiktiraf.

SEED.Lab yang ditubuhkan pada Januari tahun ini, memberi peluang kepada peserta untuk menentukan visi dan rancangan mereka, idea untuk membina penyelesaian, dan mengkomersialkan perusahaan sosial mereka dalam skala besar di pasaran.

“Peserta secara tidak langsung dapat memanfaatkan pembelajaran dan pandangan daripada panel pakar industri untuk mengembangkan model perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden TCS Asia Pasifik, Girish Ramachandran berkata, kerjasama itu akan mengembangkan SEEd.Lab sebagai sebuah pusat inovasi sosial terbuka yang dimodelkan menerusi TCS Digital Impact Square (DiSQ) dan mendorong inovasi menggunakan teknologi digital dalam menangani cabaran sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

“SEEd.Lab adalah DiSQ pertama di luar India yang akan mempengaruhi perubahan dengan mempercepat perjalanan pembuat keputusan daripada menjadi ideator kepada usahawan, penyelidik atau pemimpin korporat, untuk kemajuan rakyat Malaysia.

“Kita lihat, potensi dan kemampuan belia semakin meningkat dan perlu dimanfaatkan,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI