Kurang satu peratus pencarum - Utusan Malaysia

Kurang satu peratus pencarum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesedaran dalam kalangan pekerja gig untuk membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih rendah apabila hanya 2,847 atau 0.95 peratus mendaftar setakat 11 September lalu berbanding sasaran 300,000 pekerja.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan pekerja ekonomi gig untuk mencarum Perkeso demi kemudahan masa hadapan.

Menurut Tengku Zafrul, kelayakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bukan sahaja meliputi faedah perubatan, pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional tetapi juga pelbagai manfaat lain termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) dan Faedah Orang Tanggungan (kematian) kepada pasangan, ibu bapa, adik-beradik atau anak.

“Pada laporan Laksana ke-21 bertarikh 15 September minggu lalu, saya ada menyentuh berhubung Penjana Gig yang memberi fokus kepada rakyat yang selama ini bekerja tanpa jaringan keselamatan sosial khususnya pekerja ekonomi gig.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan akan menampung caruman kepada Perkeso sebanyak 70 peratus iaitu RM163 manakala baki 30 peratus (RM69.80) lagi ditampung oleh pekerja gig atau penyedia platform yang menjadikan jumlah bayaran sebanyak RM232.80 setahun sekali gus memberi perlindungan sehingga melebihi RM6,000 kepada pekerja ekonomi gig sekiranya ditimpa musibah semasa bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-22 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini semalam.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, setakat 11 September lalu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM89.6 bilion.

Daripada angka tersebut, kata Tengku Zafrul, sebanyak RM31.4 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan peminjam individu bernilai RM58.2 bilion.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM), Tengku Zafrul memberitahu, jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima PKS berjumlah RM10.5 bilion iaitu peningkatan daripada RM10.4 bilion direkodkan minggu lalu.
Katanya, dana pinjaman mudah itu akan memberi manfaat kepada 22,822 PKS berbanding 22,688 pada minggu lalu.

“Walaupun dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti Kemudahan Automasi Digita­lisasi (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya