fbpx

18 Januari 2021, 2:55 am

  TERKINI

Kit diagnostik koko bantu pembiakan baka bermutu tinggi

MOHD. Khairuddin Aman Razali merasmikan prapelancaran dua kit diagnostik penanaman koko di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua kit diagnostik penanaman koko diperkenalkan iaitu Kit Diagnostik KokoCorrect dan KokoSelect bagi meningkatkan mutu hasil tanaman itu di negara ini agar lebih berkualiti tinggi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, hasil penyelidikan bioteknologi Lembaga Koko Malaysia (LKM) itu dibangunkan untuk membantu pembiak baka koko bagi mengenal pasti baka dan ciri agronomi pokok seperti hasil dan lemak koko yang tinggi.

Katanya, kit berkenaan juga dapat mengenal pasti tahap ketahanan serangan perosak serta penyakit pada peringkat anak pokok.

“Ini akan mempercepat dan meningkatkan kecekapan pemilihan bahan tanaman koko,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khairuddin telah mengadakan lawatan ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sabah yang menghasilkan dua kit berkenaan.

Pusat Penyelidikan itu turut dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) Genom Koko bagi memantau pencapaian projek-projek penyelidikan LKM khususnya dalam bidang bioteknologi.

Beliau berkata, penyelidikan bioteknologi koko oleh LKM meliputi tiga program utama iaitu agro, makanan serta farmaseutikal dan industri.

Kajian bioteknologi koko itu merangkumi beberapa projek seperti Cocoa Genome, Genotyping of Cocoa Clones, kultur tisu serta kawalan penyakit dan perosak koko secara biologi.

“Antara produk akhir hasil penyelidikan adalah coklat probiotik, coklat antioksidan serta ekstrak antibakteria dan agen antikanser dari daun koko.

“Melalui semua kajian serta dapatan hasil pembangunan dan penyelidikan bioteknologi ini, kementerian berharap akan dapat membantu pembiak baka koko seterusnya para pekebun meningkatkan hasil tanaman dalam usaha merancakkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya. – UTUSAN

POPULAR