Kadar inflasi turun 1.4 peratus - Utusan Malaysia

Kadar inflasi turun 1.4 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) menyaksikan penguncupan bulan keenam berturut-turut apabila turun 1.4 peratus kepada 120.1 pada Ogos berbanding 121.8 tempoh sama tahun lalu. 

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, penurunan IHP keseluruhan telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan yang menguncup 9.9 peratus; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0 peratus); pakaian dan kasut (-0.6 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran. 

Walau bagaimanapun, Mohd. Uzir berkata, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.3 peratus kepada 135.2 berbanding 133.5 pada bulan sama tahun sebelumnya. 

Beliau berkata, kumpulan kategori itu turut menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP di samping pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 3.1 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus). 

“IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus Ogos 2020 berbanding Julai 2020. IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, RON97 dan diesel. 

“Purata harga RON95 menunjukkan penurunan pada Ogos 2020 iaitu RM1.68 per liter berbanding RM2.08 Ogos tahun lalu. Di samping itu, purata RON97 turut menurun kepada RM1.98 seliter berbanding RM2.51 dan purata harga diesel turut menurun kepada RM1.81 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Ogos 2020 berbanding bulan sama tahun lalu dengan antara kumpulan utama bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan itu adalah pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.1 peratus), komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.1 peratus). 

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal. 

Walaupun perubahan IHP tahunan menurun tetapi perubahan IHP bulanan meningkat 0.2 peratus berbanding Julai 2020 yang disumbangkan oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.7 peratus); pengangkutan (0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (0.1 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus); kesihatan (0.1 peratus) dan restoran serta hotel (0.1 peratus). 

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 menurun 1.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0 peratus), pakaian dan kasut (-1.0 peratus), serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.0 peratus). 

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.7 hingga -2.2 peratus bagi Ogos 2020 berbanding Ogos tahun lalu dengan penurunan tertinggi dicatatkan di Melaka (-2.2 peratus) dan Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2 peratus). 

Penurunan turut dicatatkan di Kedah dan Perlis (-2.1 peratus) serta di Sarawak (-2.1 peratus). 

Namun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.3 peratus) diikuti Johor (1.7 peratus), Terengganu (1.5 peratus), Perak (1.4 peratus), Negeri Sembilan (1.4 peratus) dan Pahang (1.4 peratus) yang melebihi paras nasional pada kadar 1.3 peratus.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya