Vaksin: Saham sarung tangan terjejas? - Utusan Malaysia

Vaksin: Saham sarung tangan terjejas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penularan wabak Covid-19 sejak hujung tahun lalu menyebabkan syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan getah mendapat laba dengan peningkatan mendadak jualan di dalam dan luar negara.

Berita penemuan vaksin wabak tersebut baru-baru ini bagaimanapun, dilaporkan mula menjejaskan prestasi saham-saham syarikat berkenaan di Bursa Malaysia.

Namun penganalisis menjangkakan perkembangan itu tidak menjejaskan permintaan berterusan terhadap kaunter berkenaan. Malah, ia dijangka kekal aktif diniagakan di Bursa Malaysia minggu ini, selepas melalui prestasi turun naik ming­gu lalu.

Kejatuhan saham kaunter sarung tangan bermula sejak Rusia mengumumkan penemuan vaksin pandemik itu baru-baru ini, namun sentimen negatif dilihat tidak berterusan dalam sesi dagangan minggu lepas.

Saham pemain utama kaun­ter sarung tangan melibatkan Top Glove Corp. Bhd. meningkat 3.17 peratus kepada RM28.00 sesaham ketika ditutup dalam sesi dagangan Jumaat lalu berbanding RM27.14 sesaham pada Rabu dengan permodalan pasaran bernilai RM73.46 bilion.

Pesaing terdekat Top Glove turut sama menerima kesan positif daripada pelabur dengan Supermax Corp. Bhd. naik 4.58 peratus atau 0.96 sen kepada RM21.90 satu saham berbanding RM20.94 ketika ditutup Rabu lalu, manakala Kossan Rubber Industries Bhd. turut meningkat 0.86 peratus atau 0.14 sen kepada RM16.40 sesaham berbanding RM16.26 dalam sesi pada Rabu.

Hartalega Holdings Bhd. turut merekodkan peningkatan semula prestasi apabila naik 3.14 peratus kepada RM17.74 sesaham, Jumaat lalu selepas mengalami penurunan 2.05 peratus atau 0.36 sen kepada RM17.20 satu saham pada pukul 5 petang, Rabu lalu dengan permodalan pasaran berjumlah RM58.95 bilion.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berpandangan, minat terhadap kaunter sarung tangan memang bergantung kepada penemuan vaksin Covid-19 dan ramai beranggapan apabila vaksin berjaya ditemukan, penggunaan sarung tangan akan berkurang secara drastik.

Namun, menurut Adam, secara realitinya permintaan terhadap kaunter sarung tangan akan terus kukuh untuk jangka masa panjang kerana peningkatan kesedaran dalam penjagaan kebersihan.

Katanya, kemungkinan syarikat-syarikat sarung tangan dikenakan levi keuntungan luar biasa semasa pembentangan Belanjawan 2021 mungkin menjadi penyebab utama kejatuhan saham sarung tangan.

“Harga saham kaunter sarung tangan tidak semestinya mening­kat hanya apabila berlaku bencana seperti Covid-19.

“Ini kerana, beberapa tahun sebelum wabak itu tersebar, negara-negara di Eropah telah pun memperkenalkan piawaian tahap kesihatan yang lebih ketat di hospital sekali gus meningkatkan permintaan sarung tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.  – UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya