WASHINGTON/TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu pembantunya secara tertutup bahawa beliau tidak akan menamatkan gencatan senjata dengan Iran kecuali Teheran membunuh anggota tentera AS, lapor The Wall Street Journal yang memetik pegawai Amerika.
Menurut laporan itu, keengganan Trump untuk menghidupkan semula konflik dengan Iran menunjukkan beliau mungkin bersedia menghadapi ketegangan kecil selama berminggu-minggu atau bahkan berbulan-bulan bagi mengelakkan konflik lebih besar di Asia Barat.
Minggu ini, AS dan Iran saling melancarkan antara serangan paling sengit sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada awal April.
OPTIMIS
Pada Rabu, Iran melancarkan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kemudahan tentera AS di seluruh rantau itu selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, menyebabkan seorang maut dan 63 lagi cedera.
Namun, Teheran menafikan melacarkan serangan ke lapangan terbang itu.
“Siasatan dan semakan kami terhadap serangan ke atas terminal penumpang Kuwait menunjukkan bahawa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) tidak melepaskan sebarang tembakan ke sasaran tersebut,” kata jurucakap IRGC, Hossein Mohebi.
Beliau berkata bahawa kemusnahan itu berpunca daripada kesilapan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot milik AS yang terhempas ke terminal lapangan terbang tersebut selepas gagal memintas peluru berpandu Iran.
Sebelum ini, tentera AS berkata pada Selasa bahawa ia telah berjaya menewaskan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron Iran di rantau Teluk, selain melancarkan serangan mempertahankan diri ke atas Pulau Qeshm.
Markas Pusat AS (CENTCOM) turut menafikan dakwaan IRGC bahawa mereka telah menyerang ibu pejabat Armada Kelima Amerika di Bahrain dan sebuah lagi pangkalan udara negara ‘Uncle Sam’ di rantau tersebut.
SERANG
Dalam perkembangan lain, AS memaklumkan menembak jatuh dron Iran dan melancarkan serangan terhadap sebuah stesen kawalan darat Teheran.
Laporan media menyatakan serangan berulang meningkatkan tekanan terhadap Trump dan menimbulkan keraguan mengenai kelangsungan jangka panjang gencatan senjata.
Bagaimanapun Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyifatkan serangan balas antara kedua-dua pihak sebagai tindakan mempertahankan diri dan bukannya petanda konflik besar kembali tercetus.
“Ia berlaku sebagai tindak balas terhadap tindakan Iran. Jika mereka tidak menyerang kapal-kapal itu, kami tidak akan menyerang, tetapi kami perlu bertindak balas,” katanya ketika sesi pendengaran Dewan Perwakilan AS di Washington pada Rabu.
Trump malah turut memperkecilkan serangan itu yang berlaku selepas gencatan senjata diumumkan beliau pada 7 April lalu selama dua minggu kerana perang Iran yang bermula 28 Februari lalu. Gencatan senjata itu kemudian dilanjutkan lagi tanpa had oleh Trump.
Bagaimanapun, laporan The Wall Street Journal itu menyatakan serangan berulang telah meningkatkan tekanan terhadap Trump dan menimbulkan keraguan mengenai kelangsungan jangka panjang gencatan senjata.
Trump berulang kali berkata, beliau hampir mencapai perjanjian untuk menamatkan perang yang akan membuka semula Selat Hormuz, menamatkan program nuklear Iran dan menghapuskan simpanan uranium diperkaya negara itu.
Trump berkata, rundingan dengan Iran kini berjalan ‘sangat baik’ dan berpotensi menghasilkan keputusan seawal hujung minggu ini.
TEKANAN ISU LUBNAN
Penilaian Trump itu bagaimanapun berbeza ketara dengan pendirian Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi yang berkata, saluran komunikasi dengan AS masih terbuka tetapi tiada kemajuan ketara dicapai dalam rundingan untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Katanya, Teheran akan meneruskan serangan ketenteraan terhadap lokasi yang didakwa digunakan dalam serangan ke atas Iran.
“Sebarang tindakan bermusuhan akan dibalas dengan tindak balas segera dan tegas. Apa yang gagal dicapai menerusi sekatan dan peperangan tidak akan berjaya dicapai melalui lebih banyak peperangan,” kata Araghchi menerusi hantaran di platform X.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap komen Rubio yang memuji kerjasama sekutu serantau Washington termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.
“Saya fikir sekutu kami di rantau ini sangat bekerjasama, ada yang jelas menunjukkan kerjasama yang sangat agresif, seperti UAE misalnya. Kuwait juga sangat cemerlang dalam hal ini,” kata Rubio.
Araghchi turut memberi amaran sebarang serangan Israel ke atas ibu negara Lubnan, Beirut, sebagai sebahagian daripada kempen menentang Hizbollah akan mencetuskan penyambungan semula konflik secara besar-besaran.
“Sebarang serangan ke atas Beirut akan membawa akibat buruk dan akan menyebabkan perang tercetus semula secara besar-besaran. Angkatan bersenjata kami bersedia menyerang Israel sekiranya ia menyerang Beirut,” tegasnya.
Trump sebelum ini memaklumkan beliau mahu memisahkan rundingan AS-Iran daripada rundingan berkaitan perang antara Israel dan Hizbollah di Lubnan.
“Saya mahu memisahkannya, saya mahu ada rundingan berasingan kerana ia memang berbeza,” katanya.
Presiden AS itu turut mendakwa Washington buat pertama kali mengadakan perbincangan secara langsung dengan Hizbollah sebagai sebahagian usaha menghentikan pertempuran di Lubnan.
“Kami sebenarnya bercakap dengan Hizbollah buat kali pertama. Mereka bersetuju semalam bahawa mereka tidak akan menyerang, Israel juga tidak akan menembak, jadi kita akan lihat,” katanya.
Gencatan senjata antara AS dan Iran berkuat kuasa sejak awal April, manakala gencatan senjata di Lubnan bermula pertengahan bulan sama.
Hizbollah telah membawa Lubnan ke dalam konflik Asia Barat yang lebih luas selepas pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan AS dan Israel pada 28 Februari.










