UEM Edgenta catat pendapatan RM950.3 juta separuh pertama 2020 - Utusan Malaysia

UEM Edgenta catat pendapatan RM950.3 juta separuh pertama 2020

Syahrunizam Samsudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM15.2 juta bagi tempoh separuh pertama (1H) 2020 berakhir 30 Jun lalu, berbanding keuntungan bersih RM68.1 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu mencatatkan pendapatan belum diaudit lebih rendah sebanyak RM950.3 juta untuk tempoh tersebut, berbanding RM1.1 bilion enam bulan pertama 2019.

Berikutan penurunan nilai `oneoff’ sebanyak RM50 juta untuk inventori harta tanah yang tidak terjual, keuntungan bersih yang dinormalisasi adalah sebanyak RM34.8 juta pada 1H 2020, jelas syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Jelasnnya, ia adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat yang sedang dijalankan untuk merasionalisasikan perniagaan bukan teras sambil mengutamakan sumber dalam sektor penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

Keuntungan bersih yang dinormalisasi meningkat kepada RM22.7 juta pada suku kedua 2020 berbanding suku sebelumnya, dengan kadar peningkatan sebanyak 87.6 peratus daripada RM12.1 juta pada suku pertama 2020, manakala jumlah pendapatan menurun sebanyak 10.6 peratus daripada RM501.9 juta kepada RM448.5 juta.

Peningkatan keuntungan bersih yang dinormalisasi untuk tiga bulan kedua 2020 berbanding suku sebelumnya adalah bukti usaha berterusan syarikat dalam menguruskan kos operasi sambil mengekalkan margin berikutan kesan menyeluruh pandemik COVID-19 pada suku tersebut, jelasnya.

Pada 30 Jun 2020, kunci kira-kira UEM Edgenta kekal kukuh dengan nisbah gearan kasar rendah pada 0.3 kali.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat akan terus memainkan peranan utama dalam menyokong usaha pemulihan ekonomi negara dan bekerjasama dengan para pelanggan untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan berkualiti tinggi sepanjang tempoh yang mencabar ini.

“Asas perniagaan kami kekal kukuh, dengan tumpuan untuk menguruskan kos dan mengekalkan aliran tunai dalam memastikan kesinambungan perniagaan tanpa melepaskan peluang dan pelaburan yang berpotensi untuk pertumbuhan perniagaan yang terpilih.

“Kami juga akan terus melaksana dan memanfaatkan penyelesaian yang berteraskan teknologi untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan kami,” katanya.

Jelas UEM Edgenta, komitmen syarikat terhadap inisiatif kecemerlangan operasi pada tahun-tahun sebelumnya membuktikan kesiapsiagaannya dalam menyediakan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan tanpa gangguan di barisan hadapan, bagi kesemua hospital awam dan swasta di bawah seliannya sejak bermula pandemik Covid-19.

Selain menyediakan perkhidmatan penting, UEM Edgenta juga kekal komited dalam menyokong usaha kerajaan sepanjang wabak itu melalui inisiatif tanggungjawab korporat yang memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini termasuk sumbangan 30 unit ventilator, 30 unit sistem pemantauan pesakit, serta pembangunan sistem pengurusan epidemik untuk KKM melalui maklumat masa nyata dari hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara.

“Syarikat turut bekerjasama dengan Jabatan Kejuruteraan KKM untuk membina Unit Rawatan Rapi Intensif (ICU) Hibrid di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor, sebagai penyelesaian alternatif kepada ICU yang juga mendapat permintaan tinggi di hospital-hospital kerajaan yang menangani wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.