Pendapatan Saudi Aramco susut 50% - Utusan Malaysia

Pendapatan Saudi Aramco susut 50%

seorang lelaki melihat paparan saham syarikat Saudi Aramco di Bursa Saham Riyadh, Arab Saudi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Syarikat gergasi minyak, Saudi Aramco melaporkan penyusutan pendapatan bersih sebanyak 50 peratus dalam separuh pertama tahun ini sekali gus menyaksikan impak besar pandemik Covid-19 terhadap satu daripada pengeluar minyak terbesar dunia itu.

Laporan separuh pertama tahun ini menunjukkan keuntungan syarikat itu jatuh kepada AS$23.2 bilion (RM97.36 bilion), 50 peratus pengura­ngan berbanding AS$46.9 bilion (RM196.82 bilion) yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut laporan Associated Press (AP), pendapatan suku kedua Saudi Aramco turut jatuh 73 peratus kepada AS$6.6 bi­lion (RM27.7 bilion) dari AS$24.7 bilion (RM103.65 bilion) untuk tempoh sama tahun lalu.

Walaupun banyak usaha telah Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mempelbagaikan ekonomi, namun Arab Saudi masih bergantung kepada eksport minyak untuk memacu perbelanjaan kerajaan.

Justeru, kedudukan kewa­ngan syarikat milik kerajaan Arab Saudi itu dianggap penting kepada kestabilan ekonomi negara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Ara­m­­co, Amin Nasser mengakui kedudukan kewangan syarikat itu dipengaruhi oleh pengura­ngan harga minyak mentah dan penyusutan permintaan yang timbul disebabkan Covid-19 serta menghantui ekonomi global ke arah kemelesetan.

Namun begitu, Amin berkata, syarikat itu akan mengekalkan komitmen untuk membayar dividen berjumlah AS$18.75 bilion (RM78.68 bi­lion) dalam suku kedua sebagai sebahagian daripada perjanjian membayar AS$75 bilion (RM314.74 bilion) dividen secara tahunan.

Amin menggambarkan pendapatan separuh pertama tahun ini sebagai kukuh dan mengiktiraf pengurangan kos pengeluaran serta kekuatan operasi telah membantu syarikat itu mengekalkan pembayaran dividen seperti yang telah dijanjikan.

Menurut Amin, sektor tenaga dilihat mengalami pemulihan secara berperingkat memandangkan beberapa negara telah membuka semula ekonomi dan melonggarkan sekatan. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya