Guna wang tak dituntut RM9b biayai projek rakyat - Utusan Malaysia

Guna wang tak dituntut RM9b biayai projek rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menggunakan wang tidak dituntut dianggarkan berjumlah RM9 bilion setakat tahun lalu, sebagai sumber pendapatan baharu bagi membiayai projek-projek ekonomi berorientasikan rakyat.

Ketika mengutarakan perkara tersebut, Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi EMIR Research, Jason Loh Seong Wei berkata, jumlah tersebut hampir menyamai peruntukan langsung di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebanyak RM10 bilion dan satu perlima daripada keseluruhan suntikan kumulatif RM45 bilion.

Beliau berkata, bagi membolehkan wang tersebut digunakan, Akta Wang Tak Dituntut (1965) perlu dipinda dan digantikan dengan rang undang-undang baharu serta tertakluk kepada persetujuan Parlimen.

Pindaan itu katanya, bagi membolehkan Akauntan Negara merangkap Pendaftar Wang Tak Dituntut memindahkan wang tersebut kepada dana kerajaan secara sah.

Katanya, ketiadaan tarikh luput untuk tuntutan juga merupakan halangan undang-undang yang perlu dimansuhkan bagi memudahkan proses pemindahan wang berkenaan.

Tambah Seong Wei, di bawah Akta Wang Tak Dituntut, wang tersebut berada di bawah jagaan kerajaan melalui penjawat Pendaftar Wang Tak Dituntut, di mana kerajaan merupakan pemegang amanah, bukannya badan swasta.

“Oleh itu, berdasarkan prinsip common law, kerajaan berhak secara sah mengguna atau mengurus wang yang tidak dituntut dengan apa cara sekalipun, asalkan dianggap sesuai dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan, kepentingan awam atau hal-ehwal moral.

“Ini adalah wajar dengan proses pindaan yang tidak boleh dilaksanakan dalam bentuk perintah menteri iaitu pembuat undang-undang oleh Eksekutif di bawah Akta induk, Akta Wang Tak Dituntut (1965),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Seong Wei berkata, wang tidak dituntut merangkumi:

• Gaji, bonus, komisen dan pembayaran lain dibuat kepada pekerja.
• Dividen dan keuntungan diisytiharkan untuk pengagihan
• Tuntutan insurans
• Simpanan tetap matang
• Baki kredit simpanan tidak aktif

Beliau berkata, penggunaan wang tidak dituntut untuk tujuan sosial sebagai stop gap atau tindakan darurat secara sementara, bukan hanya cadangan dasar angan-angan yang tidak boleh dicapai.

“Selagi semuanya dilakukan secara telus, bertanggungjawab, demokratik dan digunakan untuk merangsang ekonomi, adalah wajar untuk orang ramai tidak mempertikaikannya. Hakikatnya wang akan dipindahkan tetap tidak dituntut dan terbiar,” katanya.

Beliau turut menyarankan wang tidak dituntut digunakan untuk memperluas penerapan program subsidi gaji (WSP) dengan menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain sebagai baucar subsidi untuk membantu isi rumah terutama golongan berpendapatan rendah B40.

Kerajaan kelmarin melancarkan Sukuk Prihatin digital pertama patuh syariah berjumlah RM500 juta sebagai memenuhi permintaan pelbagai pihak yang mahu bersama-sama membantu memulihkan ekonomi negara, yang terjejas disebabkan Covid-19.

Langganan Sukuk terbuka kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan kadar langganan minimum RM500 dan tiada had maksimum. Ia menawarkan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun dengan tempoh pelaburan selama dua tahun.

Hasil terbitan Sukuk adalah untuk pelaksanaan inisiatif pemulihan ekonomi, meningkatkan perhubungan sekolah luar bandar, menampung perbelanjaan kesihatan dan membiayai PKS Mikro terutama usahawan wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×