FGV catat keuntungan RM20.55 juta - Utusan Malaysia

FGV catat keuntungan RM20.55 juta

(Dari kiri), Ketua Pegawai Operasi Felda Global Ventures, Azman Ahmad; Haris Fadzilah Hassan; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Felda Global Ventures, Datuk Mohd. Hairul Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Khairil Anuar Aziz memegang plak prestasi suku kedua tahun kewangan 2020 FGV di Wisma FGV, Kuala Lumpur, semalam.– Utusan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd. (FGV) merekodkan keuntungan bersih RM20.55 juta bagi tempoh tiga bulan kedua 2020 berbanding kerugian RM52.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, FGV berkata, prestasi kewangan yang lebih baik itu sebahagian besar disumbangkan oleh kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) dan penyusutan kerugian dalam segmen gula.

Menurut FGV, perolehan syarikat turut mencatatkan peningkatan kira-kira RM10 juta atau 0.3 peratus kepada RM3.29 bilion berbanding RM3.28 billion yang disumbangkan tahun lalu.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, FGV turut merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM17.8 juta untuk suku kedua tahun kewangan berakhir Disember 2020.

Kata Haris Fadzilah, peningkatan ketara daripada kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) sebanyak RM56.8 juta pada suku yang sama sebelumnya setelah mengambil kira peruntukan rosot nilai untuk aset-aset anak syarikat FGV di Kemboja sebanyak RM20 juta disebabkan kilang memproses getah itu menghentikan operasi disebabkan kerugian berterusan akibat ketidaktentuan harga getah global.

Menurut Haris Fadzilah, harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi suku kedua berada pada tahap RM2,309 per tan metrik iaitu 18 peratus lebih tinggi daripada harga purata CPO pada suku sama 2019 iaitu hanya RM1,955.

“Saya gembira prestasi kewangan FGV telah meningkat dengan ketara. Namun begitu, prestasi keseluruhan dipengaruhi wabak Covid-19 yang terus merebak secara global.

“Hasil daripada peningkatan kecekapan dalam operasi, kami juga berjaya menguruskan pengeluaran buah tandan sawit segar (FFB) dan CPO selepas permulaan yang agak perlahan tahun ini, walaupun kehilangan sebanyak 79,000 tan metrik yang belum dituai pada suku kedua kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi kewangan suku kedua FGV di sini semalam.

Mengenai prospek FGV, Haris Fadzilah berkata, syarikat terus melaksanakan rancangan mempelbagaikan segmen perniagaan dengan tumpuan kepada barangan pengguna cepat laris (FMCG) yang akan beroperasi bersama perniagaan Kumpulan.

Katanya, FGV akan memberi tumpuan membina jenama dan mengembangkan portfolio produknya untuk meluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa, bermula dengan ASEAN.

“Perniagaan tenusu kami telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan menerusi strategi agresif mempromosi dan membangunkan kembali produk Bright Cow di pasaran.

“Sebagai contoh, ladang kami di Linggi, Negeri Sembilan telah dipasang dengan sistem pemerahan susu automatik baharu yang mempunyai kemampuan untuk merekodkan prestasi setiap lembu untuk pemantauan tepat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya