Kewangan rakyat di tahap kritikal - Utusan Malaysia

Kewangan rakyat di tahap kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik Covid-19 yang me­landa seluruh dunia bukan sahaja melumpuhkan pertumbuhan ekonomi, malah menekan kebajikan rakyat.

Ini menjadi satu kebimba­ngan ketara apatah lagi jumlah pe­ngangguran dijangka meningkat sehingga penghujung tahun de­ngan ekonomi diunjurkan pulih secara perlahan.

Laporan Kajian Khas Kesan Covid-19 terhadap Individu dan Ekonomi (Pu­singan Pertama) yang dijalankan Jabatan Perangkaan, Mac lalu mendapati lebih dua pertiga atau 71.4 peratus ­responden bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi kurang daripada sebulan sahaja.

Perkara itu diburukkan lagi apabila 77.2 peratus majikan dan 82.7 peratus pekerja swasta pula mempunyai simpanan kewa­ngan mencukupi sehingga dua bulan manakala 78.9 peratus pekerja syarikat milik kerajaan (GLC) serta 75.2 peratus pekerja syarikat multinasional (MNC) mempu­nyai simpanan ke­wangan sehingga empat bulan.

Menurut Pakar Kewangan Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohamad Fa­z­li Sabri, kedudukan kewangan rakyat akan berada pada tahap kritikal sekiranya gelombang kedua Covid-19 melanda negara.

Katanya, walaupun semakin ramai sudah mula mempunyai kesedaran untuk menyimpan tetapi simpanan itu dilihat tidak mencukupi menghadapi tempoh kecemasan.

“Berdasarkan kajian pakar, setiap orang perlu mempunyai simpanan berjumlah tiga hingga enam bulan gaji untuk digunakan sewaktu tempoh kecemasan tetapi kebanyakan daripada kita ketika ini lebih menumpukan kepada keperluan semasa tanpa ada simpanan.

“Ramai yang sudah mula sedar kepentingan simpanan, ­kalau ikut kajian kira-kira 60 peratus rakyat sudah mempunyai simpanan tetapi akan digunakan dalam masa terdekat, bukannya disimpan untuk menghadapi tempoh ­kecemasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap tempoh sukar disebabkan penularan Covid-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diambil sebagai hikmah dan mula membuat simpanan sekiranya sekali lagi terpaksa berhadapan kecemasan.

“Sekarang ini kita boleh lihat kedudukan ekonomi telah mula pulih secara perlahan tetapi perkara itu boleh berubah jika berlakunya gelombang kedua. Kita perlu sentiasa berwaspada dan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, jika kerajaan ingin membantu mereka yang terkesan kerana krisis ini, kerajaan perlu membuat suntikan fiskal secara terus kepada golo­ngan-golongan yang terkesan berbanding menggunakan kaedah yang memaksa mereka menggunakan simpanan masa depan mereka sendiri.

Katanya, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan penyelesaian terbaik namun hanya ke­legaan sementara yang mana pencarum boleh mempunyai le­bihan wang tunai sebanyak empat peratus.

“Tetapi perkara ini tidaklah menyelesaikan masalah jika pencarum itu sendiri telah ­kehilangan pekerjaan sejak PKP. Untuk kesan jangka panjang, jumlah keseluruhan caruman yang dibuat akan lebih rendah sekali gus mendatangkan ­kesan buruk terhadap keadaan penca­rum selepas bersara,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya