Guru sejarah menang RM1 juta BSN SSP - Utusan Malaysia

Guru sejarah menang RM1 juta BSN SSP

M. MUNISUARAN (empat dari kanan) memenangi Cabutan Jutawan BSN SSP RM1,000,000, pada Majlis Penyampaian Pemenang Jutawan BSN SSP Ke-123 di Ipoh, Perak hari ini. -UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sambutan Hari Guru tahun ini membawa tuah luar biasa buat seorang guru sejarah apabila dia memenangi RM1 juta menerusi simpanan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN).

M. Munisuaran, 56, berkata, dia menyimpan sejak zaman universitinya pada 1990 bermula secara kecil-kecilan sebelum diteruskan secara konsisten sebagai satu disiplin diri.

“Saya mula simpan sedikit demi sedikit, mungkin sekitar 0.5 hingga satu peratus daripada gaji. Saya jadikan ia sebagai satu disiplin dan tidak akan keluarkan kecuali keadaan betul-betul terdesak,” katanya di sini.

Menurutnya, simpanan tersebut disasarkan untuk jangka panjang sehingga 30 tahun sebagai persediaan hari tua.

“Simpanan ini untuk masa depan. Walaupun ada KWSP, saya tetap mahu ada simpanan tambahan,” katanya.

Munisuaran berkata, dorongan seorang pegawai bank yang sentiasa berkongsi maklumat dan menggalakkan budaya menyimpan turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan konsistensi simpanannya.

“Saya macam tak percaya. Berjam-jam, malah sehari dua saya tertanya-tanya sama ada ini realiti atau tidak,” katanya.

Walaupun pernah memasang impian untuk memiliki kereta, dia memilih untuk tidak berbuat demikian sebaliknya meneruskan simpanan demi masa depan.

“Saya tidak akan beli kereta, saya akan terus simpan dengan BSN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai menjadikan simpanan sebagai satu amalan berterusan kerana selain pulangan, ia turut membuka peluang kepada rezeki tambahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN