GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan noktah kemenangan menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan DPMM FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, petang tadi.
Bermula baik, tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai bola pada babak pertama dengan melancarkan beberapa gerakan berbahaya ke kubu pelawat dan hampir mendahului perlawanan pada minit ke-34 menerusi kapten, Stefano Brundo.
Namun, rembatan pemain kelahiran Argentina itu berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol, Muhammad Haimie Nyaring selepas berlaku kekalutan di hadapan gawang DPMM FC.
DPMM FC yang sesekali melancarkan asakan bagaimanapun berjaya mengejutkan tuan rumah menerusi sentuhan Jordan Murray pada minit ke-41.
Gol berpunca daripada lorongan cantik oleh bekas penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang disambut oleh Ibrahim Sulley sebelum bola tersebut disudahkan dengan baik oleh Murray.
Ayam tambatan, Penang FC, Dylan Wenzel-Halls kemudian hampir menyamakan kedudukan pada masa-masa kecederaan separuh masa pertama, namun, Muhammad Haimie sekali lagi bertindak cemerlang apabila menepis tandukan tersebut.
Masuk babak kedua, tuan rumah dilihat semakin agresif untuk memburu jaringan dan peluang keemasan yang menjelma pada minit ke-58 tidak disia-siakan oleh Dylan untuk mengikat keputusan menjadi 1-1 menerusi satu rembatan kencang dalam kotak penalti.
Ketika perlawanan dilihat seakan berkesudahan dengan keputusan seri, Brundo muncul wira skuad Harimau Kumbang apabila menanduk masuk bola sepakan sudut yang diambil oleh Adib Ra’op pada minit ke-83.
Ini merupakan kemenangan pertama Penang FC dalam saingan Liga Super selepas gagal berbuat demikian dalam lapan perlawanan berturut-turut selain terpaksa berputih mata selepas kecundang dalam final Piala Cabaran kepada Sabah FC musim ini.-UTUSAN










