Piala Superkids MommyHana Safee Sali himpun 900 bakat cilik

Piala Superkids MommyHana Safee Sali 2026 himpun 900 bakat cilik

Safee Sali (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar Kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejohanan bola sepak akar umbi, MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 dijangka menghimpunkan 900 pemain cilik dari seluruh negara.

Jumlah penyertaan pada edisi kali ini mencatatkan peningkatan ketara berbanding hanya 500 peserta pada penganjuran tahun lalu.

Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan pasukan yang datang dari Pulau Pinang dan Pahang sekali gus membuktikan peningkatan terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berkata, organisasi perlu terus menyokong inisiatif bola sepak akar umbi demi membantu melahirkan serta membangunkan bakat-bakat muda di Malaysia.

“Saya ingin membawa jenama kejohanan ini ke luar bandar melalui siri jelajah ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Saya berhasrat mencari “Super Safee” di kawasan pedalaman yang jarang mendapat akses kepada platform kompetitif seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MommyHana, Mohd Farid Mohamed Sangido berkata, kejohanan ini membuktikan ibu bapa di Malaysia kini semakin memberi sokongan terhadap aktiviti positif dan sihat untuk anak-anak.

“Penganjuran ini menekankan pembentukan keyakinan diri, disiplin, semangat berpasukan dan nilai-nilai positif dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.

“Kami percaya setiap kanak-kanak mempunyai potensi apabila diberikan sokongan dan persekitaran yang tepat.

“Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada ramai kanak-kanak untuk menjadi individu yang yakin, aktif dan berdisiplin sama ada di dalam mahupun di luar padang,” ujarnya.

Kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 akan mempertandingkan empat kategori utama iaitu Bawah 8 Tahun (U8), Bawah 10 Tahun (U10), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 14 Tahun (U14).

Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Mei 2026 bertempat di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN