Hospital UCSI jadi hospital swasta pertama tawar PICKids di NS - Utusan Malaysia

Hospital UCSI jadi hospital swasta pertama tawar PICKids di NS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Hospital UCSI yang terletak di Bandar Springhill dekat sini menjadi hospital swasta pertama yang menawarkan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) di Negeri Sembilan.

Pengarah perubatan dan pakar kanak-kanak Hospital UCSI, Prof. Dr. Amaludin Ahmad berkata, pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak tersebut bermula hari ini di hospital tersebut dan buat masa ini pihaknya menawarkan sebanyak 500 dos vaksin seminggu untuk penerima.

“Setiap penerima akan dipanggil janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan pemberian vaksin akan diadakan pada setiap hari Rabu, Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Dr. Amaludin, sambutan untuk PICKids di hospital tersebut setakat ini menggalakkan dan ramai ibu bapa dan kanak-kanak hadir lebih awal daripada waktu janji temu.

“Dijangka seramai 143 orang kanak-kanak akan menerima vaksin Covid-19 mereka di Hospital UCSI hari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu, Chong Lee Har berkata, dia sememangnya mahu dua orang anaknya iaitu Ngan Qian Le, 10 dan Ngan Qian Yee, 8 untuk menerima vaksin Covid-19 dengan segera.

“Saya memberikan kebenaran ini atas kesedaran sendiri malah tiada paksaan daripada mana-mana pihak. Suami saya juga sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 dan sudah pulih dan vaksin untuk kanak-kanak ini adalah usaha supaya mereka tidak dijangkiti wabak ini,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.