Lima gagal ke Langkawi kerana positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Lima gagal ke Langkawi kerana positif Covid-19

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan lima kes positif daripada 2,528 orang yang menjalani ujian RTK-Ag sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut, hari ini. 

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga jam 12 tengah hari, seramai 2,546 orang telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi melibatkan 1,250 orang yang telah disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 orang melalui feri di Kuala Perlis. 

 

“Susulan ujian RTK-Ag ke atas 2,528 orang, sebanyak lima kes positif Covid-19 dikesan merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala. Kesemua mereka   ini telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.

 

“Daripada kesemua jumlah mereka yang disaring pula, enam orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 12 orang kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Noor Hisham berkata, masyarakat diingatkan untuk terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekalipun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling. 

 

“Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau setelah pulang dari Pulau Langkawi, segeralah dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan Covid-19. 

 

“Jangan kita mengambil mudah kelonggaran yang diberikan kerana tidak mustahil situasi jangkitan menjadi lebih teruk, sekiranya kita semua leka dan gagal mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya. 

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya. 

 

“Projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ianya berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu. 

 

“Atas sebab itulah, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan merupakan kes positif Covid-19, dan bukan kontak rapat kepada kes positif,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya