Vaksinasi walk-in warga emas bermula esok - Utusan Malaysia

Vaksinasi walk-in warga emas bermula esok

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sistem vaksinasi secara walk-in kepada penduduk warga emas di Lembah Klang akan dimulakan esok, kata Menteri Penyelaras Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, warga emas sama ada yang telah atau belum berdaftar serta yang belum menerima janji temu dibenarkan untuk walk-in ke mana-mana pusat pemberian vaksinasi (PPV) di Lembah Klang.

Bagaimanapun, katanya, bagi warga emas yang telah menerima janji temu, mereka diminta hadir ke PPV mengikut tarikh janji temu yang diberikan.

“Kami akan mengedarkan satu garis panduan kepada semua PPV untuk memastikan warga emas dapat menerima vaksin dalam keadaan selesa dan selamat selepas mengambil kira jumlah kes yang semakin tinggi di Lembah Klang.

“Warga emas yang hadir secara walk-in dibenarkan masuk ke PPV menggunakan laluan khas yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini hari ini.

Katanya, bagi warga emas yang belum pernah mendaftar sama ada melalui MySejahtera atau laman web, pendaftaran akan dilaksanakan di kaunter pendaftaran di setiap PPV.

Khairy berkata, bagi warga emas yang tidak memiliki aplikasi MySejahtera, petugas akan mendapatkan maklumat waris atau penjaga untuk dihubungi bagi peringatan vaksinasi dos kedua.

“Kesemua janji temu yang diberikan sehingga kini adalah bertarikh sebelum 1 Ogos ini.

“Sekiranya warga emas itu tiba pada waktu bekalan vaksin untuk hari itu sudah habis di PPV, nama warga emas tersebut akan dimasukkan untuk keesokan hari,” katanya.

Semalam, Adham mengumumkan penduduk Lembah Klang berusia 60 tahun ke atas dan masih belum lagi menerima vaksin Covid-19 dibenarkan datang secara walk-in atau tanpa janji temu.

Beliau berkata, lokaliti berkenaan dipilih sebagai perintis sebelum inisiatif tersebut diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN