SEREMBAN: Tidak timbul sebarang isu berhubung permohonan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat ke blok bebas.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Tengku Razaleigh sejak dari awal memang tidak pernah menyokong penubuhan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) yang ada ketika ini.
“Beliau adalah satu-satunya Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) yang tidak menandatangani akuan bersumpah semasa mahu tubuhkan kerajaan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan sendirinya dulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan perubahan kedudukan ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat tidak mencerminkan mereka menyokong atau menyebelahi sama ada blok kerajaan atau pembangkang.
Hal ini kerana pendirian kepada mana-mana blok hanya ditentukan ketika pengundian terhadap sesuatu usul yang dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, kedudukan tempat duduk wakil rakyat tidak bermakna mereka menyebelahi mana-mana pihak melainkan ahli Parlimen itu membuat pendirian secara terbuka.
Kelmarin, Tengku Razaleigh memohon untuk menukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat ke blok bebas
Perkara itu dinyatakan dalam surat rasmi yang dihantar kepada Speaker Dewan rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 26 Julai 2021. – UTUSAN ONLINE










