2,341 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas vaksin, tiada kes tahap teruk - Utusan Malaysia

2,341 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas vaksin, tiada kes tahap teruk

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 2,341 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas mereka lengkap menerima vaksin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu daripada 9,932 keseluruhan petugas barisan hadapan kesihatan yang dijangkiti wabak tersebut sejak penularan pandemik di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka yang dijangkiti Covid-19 selepas divaksin mengurangkan risiko kadar keterukan jangkitan apabila tidak ada mana-mana petugas kesihatan berada dalam kategori 5 iaitu pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ (multiorgan).

“Majoriti kes atau seramai 778 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas vaksin berada dalam kategori 1, kategori 2 (1,559 orang), kategori 3 (dua orang), kategori 4 (dua orang) manakala kategori 5 (tiada).

“Kebaikan vaksin ini mereka yang dijangkiti tidak sampai ke kategori 5. Ia ternyata boleh melindungi petugas daripada ke tahap teruk,” katanya dalam sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan pandemik Covid-19 di Lembah Klang, malam tadi.

Adham berkata, sehingga semalam, bilangan kes aktif petugas kesihatan sedang menerima rawatan di pusat perubatan adalah seramai 678 orang, manakala mereka yang dikuarantin pula berjumlah 1,812 orang.

Menurut beliau, dalam tempoh kakitangan dikuarantin, mobilasi kakitangan lain digerakkan untuk menggantikan kelompongan masa bertugas.

Katanya, Kementerian Kesihatan turut menambah kakitangan tambahan sejak tiga bulan lepas untuk memastikan kekurangan petugas kesihatan di semua hospital.

“Justeru kita mengingatkan petugas kesihatan untuk mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketika melaksanakan tanggungjawab dan ketua jabatan perlu sentiasa memantau SOP yang diguna pakai bagi melindungi mereka semasa bertugas,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN