AS ancam kenakan tarif terhadap negara import tenaga dari Russia - Utusan Malaysia

AS ancam kenakan tarif terhadap negara import tenaga dari Russia

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi bayangan pentadbirannya mungkin mengenakan tarif terhadap negara-negara yang terus mengimport tenaga dari Russia, termasuk negara besar seperti China.

Namun, Trump menjelaskan tiada kadar tarif khusus yang ditetapkan setakat ini, sambil menegaskan sebarang tindakan akan dibuat mengikut perkembangan semasa.

“Saya tidak pernah menetapkan tarif 100 peratus seperti yang didakwa. Tetapi kita sedang meneliti beberapa bentuk tindakan yang sesuai,” katanya dalam satu sidang media di Washington, Selasa.

Trump berkata, keputusan rasmi akan ditentukan selepas beberapa siri pertemuan diplomatik, termasuk satu pertemuan penting dengan wakil Russia yang dijadual berlangsung esok.

“Kita akan lihat apa yang berlaku dalam masa terdekat. Ada rundingan dengan Rusia esok, dan kami juga akan mengadakan mesyuarat berkaitan isu ini. Selepas itu, barulah kami akan membuat keputusan,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan dari India yang mengkritik tindakan AS kerana masih mengimport uranium, bahan kimia dan baja dari Russia, walaupun menggesa negara lain memutuskan hubungan tenaga dengan Moscow, Trump berkata beliau belum mengetahui perkara tersebut.

“Saya belum dimaklumkan mengenainya, tapi saya akan semak terlebih dahulu sebelum memberi maklum balas,” jawabnya ringkas.

Kenyataan Trump ini hadir di tengah ketegangan berterusan antara Barat dan Russia, susulan konflik yang berlanjutan di Ukraine, serta tekanan terhadap negara-negara yang masih menjalinkan hubungan perdagangan tenaga dengan Kremlin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×