DHAKA: Bangladesh akan mengadakan pilihan raya pertama pada Februari 2026 sejak kebangkitan rakyat menggulingkan kerajaan tahun lalu, kata pemimpin interim, Muhammad Yunus pada Selasa
“Bagi pihak kerajaan sementara, saya akan menulis surat kepada Pesuruhjaya Pilihan Raya Utama untuk memohon agar pilihan raya diadakan sebelum Ramadan pada Februari 2026,” kata Yunus dalam satu siaran sempena ulang tahun pertama penyingkiran Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel yang kini berusia 85 tahun itu mengetuai kerajaan sementara sebagai penasihat utama sehingga pilihan raya diadakan dan beliau telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan selepas pengundian selesai.
“Kita akan memasuki fasa terakhir dan paling penting selepas ucapan ini, iaitu penyerahan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat,” tambahnya.
Yunus sebelum ini menyatakan pilihan raya akan diadakan pada April, namun parti-parti politik utama mendesak agar pilihan raya diadakan lebih awal, sebelum bulan suci Ramadan di negara majoriti Islam yang mempunyai 170 juta penduduk itu.
“Saya menyeru anda semua agar mendoakan kejayaan kami supaya pilihan raya dapat diadakan dengan adil dan lancar, seterusnya membolehkan semua rakyat bersama membina ‘Bangladesh Baharu’.
“Bagi pihak kerajaan, kami akan memberikan segala sokongan yang diperlukan untuk memastikan pilihan raya dijalankan secara bebas, aman dan dalam suasana yang meriah,” katanya. -AGENSI










