KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diarah mengosongkan kerusi oleh parti mereka selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih kekal sebagai anggota blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, tiada sebarang dokumen rasmi atau kenyataan bertulis dikemukakan kepada pihaknya yang menunjukkan keenam-enam wakil rakyat terbabit telah keluar daripada pembangkang atau menyertai blok kerajaan.
“Saya ikut apa yang dimuktamadkan dalam panduan mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan. Enam orang ini masih pembangkang. Tiada satu ayat pun ditulis kepada saya bahawa mereka ingin meninggalkan pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai status enam Ahli Parlimen tersebut sama ada di blok kerajaan, pembangkang, atau atas pagar.
Johari berkata, selagi tiada pengesahan bertulis yang memaklumkan pertukaran blok atau pendirian rasmi, mereka akan terus dianggap sebagai wakil rakyat pembangkang dan layak menjalankan tanggungjawab di blok tersebut.
“Tidak adil untuk mengatakan mereka daripada pasukan berbeza. Tidak ada hitam putih kata mereka keluar atau masuk blok lain. Jadi saya ambil sikap, mereka masih sebahagian daripada pembangkang,” katanya.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Kerusi mereka masih dikekalkan di bahagian belakang Blok E, iaitu sejak pertukaran dan perubahan tempat duduk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dikemas kini Parlimen pada Mac lalu, tahun lalu. – UTUSAN










