Netanyahu ugut pecat Ketua Turus Tentera jika tolak rancangan duduki Gaza - Utusan Malaysia

Netanyahu ugut pecat Ketua Turus Tentera jika tolak rancangan duduki Gaza

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengugut memecat Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir sekiranya beliau enggan menerima cadangan rancangan bagi melaksanakan pendudukan tentera secara menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza.

Menurut sumber rapat dengan pemimpin itu pada Isnin malam, amaran tersebut disampaikan secara terbuka kepada Zamir dan disifatkan sebagai satu langkah terbaharu dalam pertikaian dalaman mengenai hala tuju operasi ketenteraan di Gaza.

Tindakan Netanyahu itu dilihat sebagai tekanan langsung terhadap pimpinan tentera susulan perbezaan pendapat berhubung strategi peperangan yang semakin memecah-belahkan institusi keselamatan Israel.

Beberapa minit sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan, pihak tentera Israel mengumumkan beberapa langkah baharu bagi mengurangkan tekanan terhadap anggota tentera tetap yang telah lama berkhidmat dalam keadaan darurat.

Antara langkah utama ialah penamatan status darurat yang telah dikuatkuasakan sejak 7 Oktober 2023 iaitu susulan pelancaran operasi Taufan Al-Aqsa oleh pejuang-pejuang Palestin.

Status itu sebelum ini membolehkan lanjutan khidmat pasukan simpanan selama empat bulan tambahan.

Menurut kenyataan tentera, kebanyakan batalion kini berada dalam keadaan keletihan selepas lebih setahun bertugas secara berterusan, termasuk di pelbagai barisan hadapan sejak dua tahun lalu.

Zamir dilaporkan telah mengarahkan agar satu platun penuh dikeluarkan daripada setiap batalion tetap dan dikembalikan semula kepada pasukan simpanan sebagai sebahagian daripada usaha memberi masa rehat kepada anggota yang terbabit dalam operasi darat, termasuk unit-unit kenderaan tempur yang dikenali sebagai ‘kenderaan Gideon’ di Gaza.

Sumber ketenteraan memaklumkan langkah ini akan mengurangkan bilangan anggota barisan hadapan yang sedang terlibat dalam operasi ketenteraan di Gaza dan kawasan sekitarnya.

Langkah tersebut juga menandakan kemungkinan wujudnya perbezaan pandangan yang mendalam antara kepimpinan politik dan tentera Israel mengenai hala tuju operasi di Gaza, khususnya dalam aspek ketahanan pasukan serta keperluan untuk mengatur semula kekuatan tempur. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN