157 kluster baharu minggu lalu - Utusan Malaysia

157 kluster baharu minggu lalu

ADHAM Baba
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan sebanyak 157 kluster baharu dengan 98 daripadanya adalah kluster tempat kerja dan 42 kluster komuniti pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-27 yang berakhir Sabtu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, selain itu, tujuh kluster kumpulan berisiko tinggi, tujuh kluster pusat tahanan dan tiga kluster pendidikan.

Dalam minggu yang sama, katanya, 870 kluster masih aktif manakala secara kumulatif sebanyak 3,058 kluster direkodkan.

“Jika dibandingkan, negara mencatatkan kumulatif sebanyak 2,901 kluster minggu sebelumnya dengan kluster baharu hanya 146 berbanding 157 kluster yang dilihat ada peningkatan pada minggu terbabit.

“Kluster tempat kerja mencatatkan 86 kluster baharu minggu sebelumnya manakala ME ke-27 merekodkan 98 kluster baharu. Bagi kluster komuniti pula, minggu sebelumnya mencatatkan 49 kluster, namun, berlaku penurunan pada ME ke-27 iaitu 42 kluster,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras PICK merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adham berkata, sejak mulanya PICK sehingga 14 Julai lalu, sebanyak 11,656,905 dos vaksin diberikan dengan 19.0 respon kendiri bagi setiap 1,000 dos diterima melalui aplikasi MySejahtera untuk Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) biasa dan minor.

“Kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan, merupakan antara kesan advers yang sering dialami penerima vaksin.

“Berdasarkan pelaporan sedia ada melalui sistem pemantauan AEFI NPRA, sebanyak 1.12 laporan diterima bagi setiap 1,000 dos,” katanya.

Beliau berkata, daripada pelaporan ini, hanya 0.06 bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diklasifikasikan sebagai serius yang memerlukan rawatan lanjut dan kemasukan ke hospital.

“Sebilangan besar kes tersebut hanya memerlukan kemasukan jangka pendek ke hospital dan boleh didiscaj setelah pemerhatian dan rawatan yang sesuai diberikan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN