Premis patuh tinggi SOP dibenar beroperasi - Utusan Malaysia

Premis patuh tinggi SOP dibenar beroperasi

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Program Jualan Prihatin Raya di perkarangan KPDNHEP, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebenaran operasi bagi 38 jenis sektor perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat berdasarkan sejarah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi diamalkan premis itu selama ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akui ada segelintir pihak tidak berpuas hati terhadap senarai dikeluarkan itu kerana ada antaranya bukan perkhidmatan perlu (essential services).

Beliau berkata, berdasarkan data dikeluarkan, pihaknya mendapati 98.36 peratus premis perniagaan yang diperiksa setakat 5 Mei lalu patuh kepada SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Sejak tahun lalu hingga kini, kami sudah memeriksa 528,581 premis di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 520,028 premis atau 98.36 peratus patuh kepada SOP.

“Hanya 0.11 peratus atau 597 premis diberi amaran dan 178 premis (0.03 peratus) sahaja dikenakan kompaun,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Raya (JPR) di sini, hari ini.

Sebelum ini, segelintir pihak mempertikai keputusan KPDNHEP yang membenarkan beberapa premis perniagaan seperti kedai perabot, kedai emas dan kedai tembakau (termasuk vape bernikotin) beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Alexander berkata, pihaknya berani membenarkan operasi premis perniagaan itu berdasarkan rekod kepatuhan SOP yang tinggi diamalkan premis itu sejak tahun lalu hingga kini.

Beliau mengakui kedai perabot dan kedai emas bukan perkhidmatan perlu tapi ia sentiasa menjadi tumpuan utama pengguna khususnya pada musim perayaan.

“Kami juga mahu memastikan kelangsungan perniagaan itu sendiri termasuk pekerja yang bekerja di premis itu. Kami mahu pekerja terus mendapat upah dan gaji sekali gus dapat menyara diri dan keluarga dalam tempoh sukar ini terutama menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, pemilihan 38 jenis premis perniagaan itu dibuat selepas kajian mendalam kementerian, namun pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan drastik termasuk menutup premis berkenaan jika gagal mematuhi SOP ditetapkan sepanjang tempoh PKP ini.

Terdahulu, Alexander melancarkan Program JPR di lobi KPDNHEP di sini yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan seperti ayam, telur, ikan, gula, minyak masak, tepung, beras dan sayuran-sayuran.

Menurutnya, program itu sepatutnya berlangsung selama tiga di beberapa lokasi di beberapa negeri namun, ia terpaksa dibatalkan susulan pelaksanaan PKP di daerah dan negeri berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN