fbpx

Polis periksa kadar tol kesan individu rentas negeri

MIOR Faridalathrash Wahid (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Ipoh, Perak, hari ini.

IPOH: Pemeriksaan kadar bayaran tol pengguna lebuh raya adalah antara pendekatan yang digunakan polis bagi mengesan mana-mana kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sekiranya transaksi bayaran tol didapati melebihi jumlah sepatutnya untuk perjalanan di dalam negeri, maka kenderaan tersebut diperiksa sebelum dikenakan kompaun.

Katanya, pendekatan terbaharu itu dilakukan bagi memastikan tiada individu cuba merentas negeri tanpa surat kebenaran.

“Kadangkala mereka ini pandai, untuk elak dikesan masuk tol ini dan keluar tol itu. Sebab itu, kita akan tengok kadar bayaran tol mereka.

“Jika transaksi itu adalah kadar tol dari Jalan Duta, maka kita berhentikan kenderaan dan periksa. Sekiranya tiada surat kebenaran, kita keluarkan kompaun dan arahkan untuk berpatah balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan ketat itu bagaimanapun tidak dilakukan ke atas semua kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Kita tidak mampu untuk periksa semua kenderaan. Jika pemeriksaan ketat dilakukan ke atas setiap kenderaan, ia menyebabkan kesesakan.

“Jadi, beri kerjasama sepenuhnya kepada polis. Berhentilah bergerak kerana jangkitan Covid-19 ini makin meningkat. Bertanggungjawablah untuk sama-sama mengekang penularan pandemik ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, lebih 3,000 permohonan diterima pihaknya setiap hari daripada orang ramai untuk merentas negeri dengan menggunakan pelbagai alasan.

Namun, katanya, tidak semua permohonan itu diterima kerana selepas semakan teliti dilakukan, ia didapati tidak memenuhi syarat rentas negeri ditetapkan kerajaan.

“Setiap hari antara 70 ke 100 permohonan kita tolak. Ada yang beri alasan kebajikan namun selepas diperiksa, ia adalah sebaliknya. Tambahan jika aktiviti sosial, memang kita tidak benarkan untuk rentas negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN