Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi di NS - Utusan Malaysia

Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi di NS

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penganjuran bazar Ramadan boleh dibenarkan di Negeri Sembilan tahun ini namun ia beroperasi di kawasan lebih sesuai dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk keperluan penjarakan fizikal dan tempat meletakkan kenderaan bagi mengelakkan kesesakan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun ia bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jika melihat kebenaran operasi pasar malam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiada masalah untuk bazar Ramadan juga dibenarkan beroperasi.

“Ia tertakluk kepada keputusan MKN. Kalau MKN kata tidak boleh, kita pun akur tapi kalau ikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, apabila pasar malam itu dibenarkan, bazar Ramadan juga tidak ada masalah.

“Kalau kita dalam PKPB tiada masalah, sebab pasar malam dibenarkan jadi kita rasa bahawa bazar Ramadan juga akan dibenarkan. Cuma tempat itu kita pastikan tidak sesak, ada tempat meletak kereta yang bersesuaian dan penjarakan harus berlaku ketika mereka mendapatkan juadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Covid-19) di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, bagi tujuan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarahkan mengenal pasti kawasan bersesuaian dijadikan tapak bagi penganjuran bazar Ramadan tahun ini.

“Kami juga sudah maklumkan kepada PBT dengan kerjasama pihak keselamatan terutama polis dan Kementerian Kesihatan untuk melihat bazar Ramadan ini. Kalau kita nak buka, tempat itu bersesuaian atau tidak.

“Persiapan dari sekarang perlu dilakukan supaya apabila tiba bulan Ramadan, tidak menimbulkan masalah. Tentang penjarakan dan perjalanan ketika mereka membeli juadah berbuka puasa, juga ketika mahu beli-belah pada waktu malam, kita tidak mahu seperti sebelum ini. Kita kena ingat kita dalam norma baharu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk menyediakan SOP di bulan Ramadan.

“Ia khususnya tentang solat tarawih, majlis berbuka puasa dan moreh kerana perkara-perkara ini ditanya masyarakat.

“Saya telah minta untuk dibuat SOP yang menyeluruh supaya kita dapat menyampaikan kepada masyarakat dan persediaan kita menghadapi Ramadan yang semakin hampir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya