KUALA LUMPUR: Ruang harus diberi kepada mahasiswa dalam menyatakan hak dan pandangan termasuk isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, hak mahasiswa untuk bersuara perlu dipelihara malah tidak wajar disekat melalui tekanan yang boleh menjejaskan perkembangan intelektual mereka.
“Tipu kalau saya kata, saya tidak terkesan apabila melihat pelajar yang terlibat dengan mana-mana kejadian. Saya boleh tidak bersetuju dengan apa yang hendak disebut oleh pelajar-pelajar. Tetapi kita perlu pertahankan hak mereka untuk bersuara.
“Saya rasa itu asas yang perlu dijaga. Jadi di peringkat IPT, kalau kita perhatikan adakah tindakan disiplinnya keterlaluan terhadap pelajar? Pada saya, selagi mana ia tidak menjadi jenayah maka pelajar tak perlu pun ditekan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas mengenai penahanan tiga aktivis belia kerana didakwa mengganggu ucapan Azam dalam satu majlis di ibu negara baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bukan sekadar melahirkan graduan berpengetahuan tetapi individu yang mempunyai keupayaan berfikir secara kritikal dan peka terhadap isu semasa.
“Kita hendak lahirkan golongan mahasiswa yang bagaimana? Golongan yang ada keupayaan untuk berfikir? Atau golongan yang tidak peduli sama sekali dengan apa yang berlaku di persekitaran?
“Tentu sekali matlamat kita di KPT adalah untuk melahirkan golongan yang holistik. Suara orang muda ini ada ‘roh’ dia, kita di sini janganlah sensitif, sampai satu tahap mereka demo (demonstrasi) depan muka saya, tetap kita perlu terbuka dan buka ruang sebaiknya.
“Cuba kita letakkan diri kita pada perspektif mereka. Tidak salah untuk kita ini duduk di kerusi empuk dan rendahkan sedikit ego untuk mendengar apa yang disuarakan,” katanya. – UTUSAN











