Hizbollah tidak percaya kepada Israel walaupun ada gencatan senjata - Utusan Malaysia

Hizbollah tidak percaya kepada Israel walaupun ada gencatan senjata

SEORANG lelaki memeriksa runtuhan bangunan akibat serangan Israel di selatan Lubnan kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT:  Pemimpin Hizbollah, Naim Qassem berkata pada Sabtu bahawa gencatan senjata selama 10 hari yang sedang berlangsung dengan Israel tidak boleh bersifat sebelah pihak, sambil berikrar bahawa pejuangnya akan bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas Lubnan.

“Gencatan senjata bermaksud penghentian sepenuhnya semua permusuhan. Oleh kerana kami tidak mempercayai musuh ini, pejuang penentangan akan kekal di medan dengan jari di picu (senjata), dan mereka akan bertindak balas terhadap sebarang pelanggaran (gencatan senjata),” kata Qassem dalam satu kenyataan yang dibacakan di televisyen.

“Tiada gencatan senjata daripada pihak penentangan sahaja, ia mesti daripada kedua-dua pihak,” tambahnya.

Beliau juga memberi reaksi pertamanya sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah malam Khamis atau pukul 5 pagi  waktu Malaysia Jumaat, dengan syarat-syaratnya dikongsi oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Qassem menyifatkannya sebagai penghinaan kepada Lubnan, bahawa Amerika bercakap bagi pihak kerajaan negaranya.

Gencatan senjata itu berlaku beberapa hari selepas duta Lubnan dan Israel ke AS bertemu di Washington sebelum rundingan langsung dirancang antara kedua-dua negara, yang pertama dalam beberapa dekad.

Hizbollah yang disokong Teheran telah menarik Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac dengan menyerang Israel sebagai balasan terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang mencetuskan siri serangan udara Israel.

Sementara itu, Tentera Israel berkata pada Sabtu bahawa seorang askar telah terbunuh sehari sebelumnya di selatan Lubnan, di mana gencatan senjata mula berkuat kuasa awal minggu lalu.

Tentera Israel  tidak memberikan butiran lanjut.

Laman berita Israel, Ynet berkata, insiden itu berlaku semasa satu operasi untuk membersihkan struktur di selatan Lubnan, kira-kira 3.5 kilometer dari sempadan.

Askar itu  adalah antara yang pertama memasuki sebuah bangunan yang dipasang perangkap letupan, yang kemudian meletup, menurut laporan itu.

Beliau menerima rawatan perubatan kecemasan tetapi kemudian disahkan meninggal dunia.

Kematian beliau menjadikan jumlah korban askar dalam perang selama enam minggu antara Israel dan Hizbollah kepada 14 orang, menurut kiraan AFP berdasarkan angka tentera. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN