Hidup kena diteruskan - Imuda - Utusan Malaysia

Hidup kena diteruskan – Imuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bahagian 1

Mengulit memori mendengar beliau melontar isi hati, ternyata legenda seni yang satu ini masih cergas dan kritis gagasan akal budinya.
Dengan penuh tertib, beliau menitip pesan kepada anak seni lain, supaya waspada dengan ombak ganas yang bakal terhidang, andai memilih masuk ke dalam dunia seni lakon yang sarat sepak terajang tak berkesudahan.
Itulah Imuda, 62, anak kelahiran Pulau Pinang atau nama sebenar Abdul Rahim Muda. Pernah mencetus fenomena melalui lakonan hebat dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, beliau berkongsi pengamatan terhadap evolusi industri lakonan dan lukisan kepada Mingguan Malaysia.

USAH DIKENANG
BARANG YANG LALU
“Hidup kena diteruskan, kita tak boleh terlalu kenangkan benda-benda lama. Abang tak mahu terlalu dibuai kenangan, contohnya satu ketika dulu abang pernah mendaki tangga populariti melalui sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
“Macam itu juga pelakon sitkom itu yang lain, kami semua biasa-biasa, tak mahu bermegah-megah. Maklumlah, kita ini terkenal, tapi terkenal saja pun kalau tak berduit, buat apa?” ujarnya tertawa.
Ada mesej tersirat sebalik seloroh itu. Penjelasan selanjutnya memberi lebih makna terhadap punca kesuraman industri, lebih-lebih lagi diskriminasi stesen televisyen terhadap pelakon veteran, kerana mabuk sangat dengan muka baru yang muncul dan meraih populariti melalui senjata halus sebuah teknologi bernama media sosial
“Contohnya, sebelum ini, seorang penerbit telefon minta abang bersiap sedia untuk rakaman drama. Abang pun siap sedia. Tapi bila tiba masa yang dijanjikan untuk abang berlakon, dia tak telefon. Abang hubungi dia, tanya apa masalahnya? Dia kata, pihak stesen televisyen tak mahu nama abang dalam drama. Puncanya, sebab mahukan muka baru yang sudah ada pengikut dalam media sosial.
“Sebagai manusia, hal ini memang mengguris hati kita. Bila buat macam ini, sedangkan kita sudah tolak tawaran lakonan lain, jadi tak bagus lah buat macam ini,” katanya.

MASALAH STESEN TV
Tambahnya, sudah menjadi amalan masa kini segelintir stesen ‘pilih pucuk muda’, sedangkan masing-masing sedia maklum bahawa muka baru ini rata-rata bersifat kosmetik, kerana hanya bergantung kepada bilangan pengikut media sosial berbanding bakat.
“Itu hak stesen, maksudnya mereka buat apa saja sebab stesen itu mereka yang punya. Kita cuma boleh beritahu, tak patut lah membudayakan amalan sebegitu.
“Apa puncanya jadi macam ini? Sebab stesen mahu pelakon yang ada pengikut sejuta orang dalam media sosial. Itu pertama, kemudian amalan pilih bulu pula, yang ini membabitkan penerbit dan pengarah.
“Misalnya ada seorang pelakon ini sedang berlakon, dan pengarah ada projek rakaman lain, mereka tak ambil pelakon lain, tetap pelakon sama. Jadi muka dia sajalah. Ini timbulkan masalah, apabila pelakon lain akan berterusan tiada peluang kerja,” luahnya.

BAKAT TAK DIPERSIAKAN
Mujurlah, katanya, beliau dikurniakan bakat melukis yang boleh dibuat modal menjana pendapatan.
“Abang bersyukur, kerana ada sedikit kebolehan melukis, bolehlah menjana pendapatan untuk keluarga. Walaupun terpaksa akur bahawa zaman sekarang, banyak persaingan dengan pelukis baru yang hebat-hebat, mereka ini mahir mendigitalkan lukisan.
“Bercakap soal pasaran dan permintaan, pelanggan itu ada, cuma tak banyak. Mereka terdiri dalam kalangan orang biasa, dan adakala dapat juga tempahan lukisan dari tokoh dan syarikat korporat. Melalui lukisan itulah, abang menampung biaya untuk keluarga,” katanya.

TITIP PESAN BUAT MASYARAKAT
Sempat membisik pesan, beliau mengingatkan pelakon-pelakon baru agar tidak terlalu bergantung kepada satu cabang seni saja, yang diumpamakan seperti menghimpunkan semua telur dalam satu bakul.
“Simpan duit, buat pelaburan asas seperti beli rumah, buat rumah sewa. Itu semua persediaan di hari tua nanti, sebab dunia sekarang semakin mencabar. Bayangkan macam abang duduk di Kuala Lumpur, karipap di gerai belakang rumah, sebiji RM1. Macam mana nak teruskan hidup kalau tak berduit?
“Sebab itu, dalam perkara ini abang tak boleh duduk diam. Kalau stesen atau penerbit tak buka peluang, kita tak boleh putus harap, kena usaha kerah tulang empat kerat dan usaha cari peluang.
“Contohnya lama dahulu ada satu shooting di Johor, di Yayasan Warisan Johor yang kebetulan ada balai lukisan. Abang jumpa pengarahnya, abang beri cadangan nak buat lukisan sekian-sekian, boleh tak? Alhamdulillah dapat job. Jadi, maksud di sini kena ringan mulut dan rajin cari peluang,” katanya. – Mingguan Malaysia

Bersambung minggu depan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya