PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum dan agama.
Beliau berkata, nilai yang diangkat sempena sambutan Hari Wesak itu mempunyai makna besar dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia yang dibina atas asas saling memahami, menghormati dan hidup bersama secara harmoni.
“Hari Wesak mengajak kita merenung nilai-nilai luhur yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat, khususnya kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sesama insan.
“Nilai-nilai ini bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan, malah terus relevan dalam membina sebuah masyarakat yang saling memahami dan menghormati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, dalam keadaan negara yang rencam budaya, agama dan latar kehidupan, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang perlu terus diperkukuh bagi memelihara keharmonian masyarakat.
Katanya, penyebaran nilai itu penting bagi menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman yang menjadi asas kepada perpaduan negara.
“Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha.
“Saya berharap ia terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang menyatukan kita sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah,” katanya. – UTUSAN










