SEREMBAN: Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki warga emas dipercayai didera.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video tular yang memaparkan mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 60-an, dipercayai didera sebelum meninggal dunia petang semalam.
Menurutnya , laporan berkenaan diterima kira-kira pukul 10 pagi hari ini sebelum polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
” Tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 28 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu termasuk getah paip yang digunakan untuk memukul mangsa.
Katanya, sebuah kerusi roda, telefon bimbit dan pakaian yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan.-UTUSAN.











