Suruhanjaya Kesihatan perlu merangkumi sektor swasta

Suruhanjaya Kesihatan perlu merangkumi sektor swasta

LAPORAN Utusan Malaysia kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) perlu merangkumi sektor awam dan swasta bagi memastikan reformasi sistem kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya membabitkan perubahan struktur pentadbiran.

Langkah itu penting bagi menangani isu kekurangan dan penghijrahan tenaga kerja kesihatan selain memastikan ke­perluan semua profesion dalam sektor berkenaan diberikan perhatian sewajarnya.

Presiden Persatuan Farmasi, Prof. Amrahi Buang berkata, sistem kesihatan negara tidak seharusnya terus beroperasi secara berasingan antara kedua-dua sektor kerana pendekatan itu gagal menangani masalah tenaga kerja sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kerajaan perlu memperjelas struktur, skop dan punca kuasa SPK bagi memastikan suruhanjaya itu benar-benar berupaya menangani cabaran sektor kesihatan.

“Penghijrahan tenaga kerja berlaku dalam dua keadaan, iaitu daripada sektor awam ke luar negara dan daripada sektor awam ke sektor swasta.

“Jadi, bagaimana kita hendak menangani perkara ini? Sebab itu sistem kesihatan Malaysia perlu benar-benar disepadukan dan di situlah peranan suruhanjaya berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Senator Dr. RA Lingeshwaran menggesa SPK diberikan kuasa autonomi dalam aspek perjawatan dan sistem saraan bagi memastikan penubuhannya tidak sekadar menambah lapisan birokrasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini menjelaskan fungsi SPK melibatkan urusan pelantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tatatertib manakala kuasa mewujudkan jawatan baharu serta menentukan sistem saraan kekal di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Amrahi berkata, walaupun cadangan penubuhan SPK telah dinyatakan dalam Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan Parlimen, struktur dan bidang kuasa suruhanjaya itu masih perlu diperjelaskan termasuk kaedah menentukan keperluan doktor, ahli farmasi serta petugas kesihatan lain dan pengagihan tenaga kerja di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana SPK dapat memainkan peranan itu sekiranya urusan perkhidmatan awam masih tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan JPA.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Noor Aini Abu Hashim berkata, penubuhan SPK perlu mengambil kira kepentingan semua profesion kesihatan dan tidak hanya tertumpu kepada pegawai perubatan.

“MNU perlu memastikan dasar SPK tidak terlalu tertumpu kepada pegawai perubatan sehingga kepentingan jururawat, penolong pegawai perubatan, ahli farmasi dan profesion kesihatan lain terpinggir,” katanya.

Menurut Noor Aini, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah mempercepat pengi­sian kekosongan jawatan tetap jururawat, mengambil kira nisbah jururawat dengan pesakit dan beban kerja sebenar, selain menyediakan laluan kenaikan pangkat yang jelas serta mengiktiraf kela­yakan dan kepakaran klinikal.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini