MUAR: Seramai 36 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada pelbagai negara ditahan dalam serbuan bersepadu membabitkan premis perniagaan, ladang durian dan rumah kediaman di sekitar daerah ini, kelmarin.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, turut ditahan dalam operasi besar-besaran itu termasuklah dua pengurus premis warga tempatan.
Katanya, operasi berkenaan yang dinamakan sebagai Ops Belanja, Ops Sapu, Ops Hijau dan Ops Selera itu digerakkan bermula pukul 3.00 pagi.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan terhadap 108 individu di lokasi serbuan, kita dapati 36 warga asing berusia antara 16 hingga 54 tahun gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk tinggal di negara ini.
“Suspek ditahan terdiri daripada 13 Indonesia, 10 lelaki Myanmar, tiga lelaki Bangladesh, dua perempuan Indonesia, seorang perempuan Vietnam dan tujuh perempuan Myanmar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Darus, dua warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai pengurus premis kerana melindungi serta menggaji pekerja asing tanpa izin.
*Kesemua warga asing yang ditahan kini disiasat lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk tindakan susulan.
“Kami turut mengeluarkan tiga keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.-UTUSAN











