PETALING JAYA: Empat individu termasuk seorang juruterbang rakyat Malaysia yang merupakan pemilik pesawat ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan penahanan pesawat persendirian dari negara ini yang terbabit cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) syabu dari Laos ke Filipina pada 1 Oktober lalu.
Juruterbang berusia berusia 49 tahun itu ditahan bersama pembantu juruterbang warga Singapura berusia 47 tahun, dan dua wanita rakyat Malaysia iaitu seorang doktor berusia 37 tahun dan jururawat berusia 33 tahun.
Kesemua mereka ditahan sebelum sebuah pesawat peribadi disekat daripada berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke Manila, Filipina pagi semalam.
Penahanan itu hasil operasi khas membabitkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO) Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia juruterbang terbabit dipercayai telah berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu sejak 2024 dan disyaki turut memiliki kedua-dua jet persendirian berkenaan.
“Ketika serbuan dilakukan, tidak menemukan apa-apa barang terlarang. Kesemua suspek telah ditahan bagi disoal siasat oleh pihak JSJN, Bukit Aman,” katanya.
Semalam media melaporkan, PDRM menerima makluman daripada pihak berkuasa Laos berhubung tumpasnya cubaan penyeludupan dadah rentas sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu.
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang itu membawa tiga individu iaitu juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.
Dilaporkan kemudiannya, dua kenderaan tiba di lapangan terbang dan beberapa kakitangan lapangan terbang membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan berkenaan ke atas troli untuk dibawa ke pesawat.
Pemeriksaan pihak berkuasa kemudiannya menemukan sebanyak 500 bungkusan mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 521 kg.
Dalam perkembangan sama, sumber itu berkata, kesemua individu yang ditahan dalam pesawat ke Laos itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Pembantu juruterbang yang ditahan di Laos itu berasal daripada Sarawak dan telah berkhidmat dengan syarikat penerbangan persendirian itu sejak 2023,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi memaklumkan proses siasatan masih dilakukan dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lanjut dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, pemantauan dan pengawasan pergerakan jet peribadi serta pesawat persendirian adalah membabitkan beberapa agensi mengikut bidang kuasa masing-masing.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, mereka pula bertanggungjawab terhadap kawal selia keselamatan dan sekuriti penerbangan awam, termasuk aspek pensijilan, kelulusan dan pelesenan berkaitan pesawat, pengendali serta personel penerbangan.
“CAAM mengawal pergerakan pesawat menerusi perkhidmatan kawalan trafik udara bagi memastikan penerbangan berlangsung dengan selamat dan teratur.
“Sementara itu, pengendali lapangan terbang bertanggungjawab terhadap operasi di darat, kawalan akses dan pemeriksaan sekuriti berdasarkan prosedur yang ditetapkan.
“Manakala, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan PDRM pula menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing. Ia termasuk urusan keluar masuk individu, barangan serta pencegahan jenayah,”ujarnya
Selain itu, bagi aspek pemeriksaan dan pemantauan pesawar peribadi, khususnya membabitkan keselamatan, penumpang, kargo dan barangan yang dibawa, CAAM menjalankan pengawasan pematuhan terhpadap keperluan keselamatan dan sekuriti penerbangan melalui audit serta pemeriksaan.
“Pengawasan itu meliputi syarikat operator atau personel yang dikawal selia, termasuk pengendali jet peribadi.
“CAAM turut mempunyai rekod pelan penerbangan, pergerakan pesawat serta manifest penumpang bagi penerbangan berkaitan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal terhadap penumpang, bagasi, kargo dan barangan dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab mengikut bidang kuasa serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN.











