Kerjasama Pas-BN hampir menemui titik noktah

Kerjasama Pas-BN hampir menemui titik noktah

IDRIS Ahmad menyerahkan bendera Pas kepada seorang petugas sebagai simbolik melancarkan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Hang Tuah Jaya di Dewan World Youth Foundation-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rundingan kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semakin menemui titik noktah dengan hanya pembahagian kerusi yang masih belum dimuktamadkan dan dijangka diputuskan minggu depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perkembangan itu memberi petunjuk positif bahawa kerjasama berkenaan berkemungkinan menjadi kenyataan, meskipun beberapa perkara berkaitan pengagihan kerusi dan logo masih memerlukan persetujuan bersama.

Menurutnya, rundingan yang berlangsung setakat ini berjalan dengan baik dan kedua-dua pihak masih berusaha menyelesaikan perkara yang belum dipersetujui sebelum keputusan rasmi diumumkan sebelum BN mengumumkan senarai calon pada 24 Oktober ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini, hampir 90 peratus semuanya berjalan lancar. Insya-Allah kerjasama ini akan menjadi kenyataan.

“Cuma senarai kerusi yang bakal ditandingi Pas menerusi kerjasama ini masih belum dimuktamadkan secara rasmi,” katanya ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Hang Tuah Jaya di Dewan World Youth Foundation, di sini semalam.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Idris berkata, beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibincangkan, termasuk Bukit Katil dan Ayer Keroh akan ditandingi calon Pas.

“Namun terdapat beberapa kerusi lain yang masih belum diputuskan dan hanya menunggu perbincangan kedua minggu depan,” ujarnya.

Menurutnya, perbincangan turut menyentuh mengenai penggunaan bendera parti bagi kerusi yang bakal ditandingi, termasuk empat kerusi DUN yang dibangkitkan dalam perbincangan terbaharu.

Utusan sebelum ini melaporkan menerusi rundingan pertama minggu lalu dihadiri Idris dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selain DUN Ayer Keroh dan Bukit Katil, parti itu dikatakan turut bertanding di Paya Rumput serta Bemban.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, perkara itu belum boleh dianggap sebagai keputusan rasmi berhubung pembahagian kerusi kerana persetujuan akhir masih belum dicapai.

Ditanya sama ada Pas berkemungkinan memperoleh lebih daripada empat kerusi, Idris berkata, kemungkinan itu pernah dibangkitkan sebelum ini, namun belum ada keputusan muktamad mengenainya.

“Tunggulah apabila sudah rasmi kita akan maklumkan dan setakat ini ia belum dimuktamadkan lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini