Gandar belakang tercabut: JPJ gantung sementara VTA Chery Omoda 5

Gandar belakang tercabut: JPJ gantung sementara VTA Chery Omoda 5

Tali pinggang keledar
AEDY FADLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model dan varian Chery Omoda 5 yang terlibat dalam isu keselamatan susulan insiden tular di Johor Bahru, minggu lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu turut melibatkan penangguhan pendaftaran baharu kenderaan berkenaan sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dikenal pasti.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil sebagai tindakan pencegahan awal bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JPJ memandang serius insiden tular melibatkan sebuah kenderaan Chery Omoda 5 yang berlaku di Johor Bahru minggu lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan kenderaan berkenaan.

“Sebagai langkah pencegahan awal, JPJ akan menggantung sementara VTA yang berkaitan, sekali gus menangguhkan pendaftaran baharu Chery Omoda 5 sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

Aedy Fadly berkata, jabatan itu juga akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.

Audit berkenaan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan dan tahap keselamatan komponen yang digunakan.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, penggantungan berkenaan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.

“Ia juga tertakluk kepada pengesahan teknikal JPJ segala risiko keselamatan sudah ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini tular gambar dan video sebuah Chery Omoda 5 berwarna hitam yang tercabut gandar belakang di media sosial, minggu lalu. 

Rakaman berkenaan memaparkan gandar belakang bersama kedua-dua roda belakang kenderaan itu terpisah daripada badan kereta.

Insiden itu turut mengundang perhatian susulan kejadian hampir sama pada April 2024 yang membawa kepada kempen pemeriksaan membabitkan 600 unit Chery Omoda 5.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini